Tersebutlah kisah Si Pengembara Bahasa, Menggelarkan dirinya Kembara Bahasa; Bijak berkata indah berbahasa, Perjuangannya memartabatkan Warisan Bangsa.
Sudah bertahun dia mengembara, Serata dunia memperkenalkan bahasa; Warga dunia jatuh cinta dengan bahasa, Bahasa kebangsaanku indah bila berbahasa.
Ilmu dicurah tak pernah jemu, Demi kerana memartabatkan bahasa ibundaku; Kudoakan kejayaan untuk dirimu, Di mana berada Tuhan bersamamu.
Penat dan lelah tidak dihiraukan, Asalkan tercapai apa yang diperjuangkan; Mempertabatkan Bahasa Kebangsaan, Diminati penghuni dunia dalam kebanggaan.
Pelajarmu ramai di serata dunia, Mempelajari mereka tanpa berputus asa; Bahasa ibundamu diminati terasa bangga, Kesyukuran dipanjatkan kepada Yang Maha Esa.
Mengenal bahasa ibunda kebanggaanmu, Warga dunia mengenal juga negaramu; Dikau mencurahkan ilmu tanpa jemu, Mereka melancong ke negaramu.
Datang mereka disambut gembira, Disambut dengan sejambak bahasa; Bahasa cinta memukau jiwa, Terpesona mereka Bahasa Jiwa Bangsa.
Datang ke negaramu berbahasa ibunda, Begitu fasih indah tutur kata; Teruja rakyat Malaysia mendengarnya, Apabila mereka berbahasa ibundaku tercinta.
Semasa di negara sendiri mereka mempelajari, Bahasa ibundaku penuh tekun dipelajari; Datang melancong ke Malaysia ini, Jatuh cinta berbangga mempelajari.
Ilmu dituntut rasa dibanggai, Mempelajari Bahasa Melayu begitu diminati; Akan diungkap apabila sampai di sini, Dijadikan kebanggaan kepada negaranya nanti.
Indah sungguh Bahasa Melayuku, Dipelajari warga dunia tanpa jemu; Bahasa ibundaku jiwa terpukau, Siapa mendengar pasti tak jemu.
Terima kasih kepada Kembara Bahasa, Ilmu dicurah di serata dunia; Diamalkan mereka bila sampai di Malaysia, Berbangga rakyat Melaysia tidak terkata.
Budi bahasa indah penenang jiwa, Mengungkap kata sepenuh rasa; Terpukau mereka keindahan Malaysia, Rakyatnya pelbagai kaum bersatu dalam berbahasa.
Indah bahasa seiring keindahan negaraku, Keindahan alam mereka terpukau; Menjadi realiti di luar jangkau, Indah berbahasa mereka terpaku.
Terpaku mereka keindahan Malaysia, Rakyatnya bersatu dalam berbahasa; Bahasa kebangsaan dihormati lagi dipuja, Menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
Bertukar-tukar pandangan para tetamu, Datang ke sini berbahasa Melayu; Apabila berbahasa bangga tanpa silu, Ramai yang mendengar rasa terpukau.
Penat lelahmu terbalas sudah, Namun hatimu tak pernah bermegah; Kau seorang berhati tabah, Usahamu jadi realiti Malaysia bermegah.
Ilmumu dicurah tidak pernah kehabisan, Pulang ke Malaysia teruskan perjuangan; Azam mempertabatkan Bahasa Kebangsaan, Agar rakyat Malaysia rasa kebanggaan.
Seluruh Malaysia mahu dijelajahi, Mempertabatkan Bahasa Kebangsaan yang dibanggai; Dibanggai seluruh rakyat Malaysia dicintai, Membudayakan Bahasa Kebangsaan itu dihajati.
Diberi sokongan oleh semua Pejuang Bahasa, Tidak kira siapa pun mereka; Bersatu hati demi Bahasa Ibunda, Asalkan rakyat berbahasa ibunda tercinta.
Pengembara Bahasa bersama Pejuang Bahasa, Ingin menjelajahi Jabatan Kerajaan dan Swasta; Untuk memupuk budaya Bahasa Ibunda, Bahasa Ibunda Bahasa Jiwa Bangsa.
Semua rakyat Malaysia akan berbangga, Mencintai Bahasa Kebangsaan Kita; Bila berbahasa penuh bangga, Warga dunia menghargai kehebatan bahasa kita.
Kembara Bahasa dan Pejuang Bahasa, Kami penyokong setiamu sentiasa berdoa; Moga matlamat kalian akan berjaya, Menjadi kebanggaaan Malaysia dan rakyatnya.
Bahasa kita warisan kita, Warisan Seni yang perlu dibangga; Marilah kita membudayakannya, Pewaris kita turut berbangga.
Sekian sahaja Syair Pengembara Bahasa, Dipersembahkan untuk Warga Dunia; Moga gembira dan sentiasa bahagia, Berbahasa indah rasa tenang di jiwa.
Karya: Putri Rimba Niagara 3 Julai 2012 (SYAIR DIILHAMKAN ISTIMEWA UNTUK YBHG. DR. HAJI AWANG BIN SARIYAN KETUA PENGARAH DBP)
0 comments:
Post a Comment