UCAPAN
YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI SEMPENA
SAMBUTAN JUBLI EMAS HARI MALAYSIA KE-50
Alhamdulillah, syukur di atas limpah rahmat dan nikmat kurniaan Allah SWT, hari ini genap 50 tahun negara kita megah berdiri di persada dunia atas nama Malaysia. Sesungguhnya sambutan Jubli Emas Malaysia ini adalah sesuatu yang amat dibanggakan oleh rakyat negara ini. Ini kerana penyatuan negeri-negeri di Semenanjung tanah air dengan Sabah dan Sarawak berjaya melahirkan negara Malaysia yang unik, harmoni dan pesat membangun.
Sejarah membuktikan bahawa usaha menyatukan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung bersandarkan hasrat murni barisan kepimpinan terdahulu yang mahu melihat negara Malaysia secara keseluruhannya bergerak seiring dalam mengisi denyut nadi pembangunan.
Penyatuan jiwa bangsa di bawah nama Malaysia tentunya dapat menyerlahkan lagi keunikan serta kepelbagaian penduduk di negara ini sekali gus menjadikan Malaysia destinasi menarik dengan elemen penyatuan jiwa menjadi keutamaan sehingga menimbulkan rasa kagum dalam kalangan negara luar.
Sejarah kegemilangan penyatuan rakyat di bawah sebuah negara bernama Malaysia mesti terus dipelihara. Pembangunan serta kecemerlangan yang kita nikmati sekarang mesti diteruskan untuk kepentingan generasi masa depan. Untuk itu asas paling penting yang perlu dipupuk adalah keharmonian dan toleransi penduduk berbilang kaum di negara ini yang menjadi tunjang serta tonggak negara Malaysia yang utuh, berwibawa dan dihormati.
Tanpa keharmonian dan toleransi setiap usaha pembangunan tidak akan dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana rakyat sentiasa bercakaran sesama sendiri sekaligus kelak melumpuhkan kesejahteraan yang telah diusahakan sejak negara belum mencapai kemerdekaan lagi.
Kita harus akui dan memberi pengiktirafan kepada setiap usaha kerajaan untuk membangunkan negara dan pada masa yang sama mengisi keperluan rakyat secara keseluruhannya. Tugas itu tidak mudah dan menuntut komitmen serta pengorbanan yang bukan sedikit.
Kerajaan sejak zaman kepimpinan Almarhum Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj sehingga sekarang ini tidak pernah mengetepikan hak rakyat di negara ini biar apa pun kaum atau agama anutan mereka. Perlembagaan negara menjadi asas serta panduan bagi memastikan hak asasi rakyat tidak disisihkan. Lebih daripada itu kerajaan dari semasa ke semasa melaksanakan pelbagai usaha dan program untuk mengisi keperluan rakyat baik berbentuk pembangunan fizikal mahu pun pengisian rohani.
Saya menggesa semua rakyat Malaysia agar mensyukuri setiap nikmat yang telah dan akan kita perolehi. Hakikatnya, tanpa sumbangan serta pengilbatan setiap golongan masyarakat di Malaysia kita tidak akan dapat berdiri seperti sekarang ini. Gandingan rakyat dan pemerintah yang mantap mesti diteruskan supaya Malaysia dapat terus membangun dan gemilang. Rakyat yang kuat dan pandai membuat penilaian tidak akan terjerumus ke dalam apa juga kancah yang cuba ditimbulkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Kerajaan menerusi dasar dan program yang diperkenalkan termasuk yang terbaru Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera sentiasa memberi ruang yang amat luas kepada rakyat Malaysia tanpa ada sempadan atau batasan. Baik di Semenanjung mahu pun di Sabah atau Sarawak, rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan kepada kita sepanjang 50 tahun bersatu di bawah naungan negara yang bernama Malaysia. Selamat Menyambut Hari Malaysia. 50 tahun Sarawak dan Sabah Merdeka dalam Malaysia.
Tan Sri Muhyiddin Hj. Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri
(PETIKAN DARIPADA WALL MUHYIDDIN YASSIN )
16 September 2013M
10 Zulkaedah 1434H
0 comments:
Post a Comment