Surah Al-Hasyr: Kisah Pengusiran Kaum Yahudi Bani Nadhir
Pada bulan ini, Allah سبحانه وتعالى telah menurunkan Surah Al-Hasyr yang bermaksud pengusiran. Pengusiran ke atas kaum Yahudi Bani An Nadhir dari Madinah pada ke tahun 4 Hijrah, selepas cubaan mereka membunuh Nabi Muhammad ﷺ menggunakan seketul batu besar. Rasulullah ﷺ menghantar perutusan kepada mereka supaya keluar dari Madinah kerana mengingkari perjanjian damai bersama Baginda ﷺ.
Dalam surah Al-Hasyr tersebut, Allah سبحانه وتعالى telah berfirman:
هُوَ الَّذِي أَخْرَجَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مِن دِيَارِهِمْ لِأَوَّلِ الْحَشْرِۚ مَا ظَنَنتُمْ أَن يَخْرُجُواۖ وَظَنُّوا أَنَّهُم مَّانِعَتُهُمْ حُصُونُهُم مِّنَ اللَّـهِ فَأَتَاهُمُ اللَّـهُ مِنْ حَيْثُ لَمْ يَحْتَسِبُواۖ وَقَذَفَ فِي قُلُوبِهِمُ الرُّعْبَۚ يُخْرِبُونَ بُيُوتَهُم بِأَيْدِيهِمْ وَأَيْدِي الْمُؤْمِنِينَ فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الْأَبْصَارِ ﴿٢﴾ وَلَوْلَا أَن كَتَبَ اللَّـهُ عَلَيْهِمُ الْجَلَاءَ لَعَذَّبَهُمْ فِي الدُّنْيَاۖ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابُ النَّارِ ﴿٣
“Dialah yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab dari kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya. Dan kalaulah tidak kerana Allah telah menetapkan pengusiran (yang demikian buruknya) terhadap mereka, tentulah Ia akan menyeksa mereka di dunia; dan mereka juga akan beroleh azab seksa neraka pada hari akhirat kelak.” (Surah Al-Hasyr, Ayat 2-3)
.
Peristiwa pengusiran Yahudi Bani Nadhir dari kota Madinah berlaku selepas mereka cuba membunuh Rasulullah ﷺ. Yahudi yang terkenal dengan sikap penakut telah mengadakan hubungan sulit dengan orang munafiq dan musyrikin dalam merancang pakatan jahat untuk berhadapan dengan umat Islam. Mereka sebenarnya tidak berani berperang secara berdepan terutamanya selepas tindakan yang dikenakan oleh Rasulullah ﷺ ke atas Yahudi Bani Qainuqa’ dan Ka’ab bin Asyraf.
.
.
Rancangan Keji Bani Nadhir Terhadap Rasulullah
Kisahnya yang penuh pengajaran sehingga kehari ini, bermula apabila Rasulullah ﷺ pergi ke perkampungan kaum Yahudi Bani An Nadhir untuk meminta supaya membayar diat berhubung dengan ‘Ammar bin Umaiyah ad-Dhamri yang telah membunuh 2 orang dari kabilah Bani Kilab di mana mereka sebagai rakyat dalam negara Islam yang telah berjanji untuk memberi sumbangan sekiranya berlaku perkara seperti itu.
Nabi Muhammd ﷺ pergi ke kampung tersebut bersama dengan beberapa orang sahabat. Setelah diberitahu tujuan kedatangannya maka Bani Nadhir menyatakan kesanggupan mereka untuk menunaikan janji dalam penebusan bayaran itu dan meminta Baginda ﷺ supaya duduk menunggu di tepi sebuah rumah dalam kampung itu bersama-sama dengan Sayyidina Abu Bakar dan para sahabat yang lain.
Tiba-tiba orang yahudi itu telah membuat pakatan jahat untuk melakukan pembunuhan ke atas Nabi Muhammd ﷺ. Huyai bin Akhtab seorang pembesar mereka telah mengarahkan supaya dicampakkan seketul batu besar ke atas Muhammd ﷺ dari bahagian atas rumah yang ketika itu Baginda ﷺ sedang berehat di bawahnya.
Seorang yang bernama ‘Amru bin Jahsy sanggup melakukan kerja itu walaupun salah seorang daripada kalangan mereka telah menegahnya iaitu Salam bin Misykam di mana dia telah memberi amaran dengan katanya : “Jangan lakukan perkara ini, dia (Rasulullah ﷺ) akan diberitahu dan kerja ini adalah melanggar perjanjian di antara kita dan dia.”Tetapi nasihat itu tidak diendahkan oleh mereka.
Malaikat Jibril telah diperintahkan oleh Allah سبحانه وتعالى supaya memberitahu kepada nabiNya tentang perancangan jahat itu. Setelah mendapat berita tersebut lalu Rasulullah ﷺterus bangun lalu terus keluar dari tempat tersebut dan pulang dengan segera ke Kota Madinah. Para sahabat yang masih tidak tahu perkara sebenarnya turut mengikuti Bagindaﷺ pulang ke Madinah di mana setelah tiba di sana lalu mereka bertanya perkara yang sebenarnya yang menyebabkan Baginda ﷺ pulang secara tergesa-gesa ke Kota Madinah sedangkan urusan mereka belum selesai. Rasulullah ﷺ terus menjelaskan kepada para sahabat tentang perancangan jahat Yahudi Bani Nadhir yang ingin membunuhnya dengan menggugurkan batu dari atas rumah ke atasnya.
Baginda ﷺ kemudian menghantar Muhammad bin Maslamah sebagai utusan untuk memberitahu Bani Nadhir bahawa mereka tidak dibenarkan lagi tinggal di Madinah kerana mereka telah melanggari perjanjian damai bersama Nabi Muhammd ﷺ.
“Keluarlah dari negara kami. Jangan kamu tinggal di sini selama kamu membelot kami.”
Melalui perutusan Muhammad bin Maslamah, mereka diberi tempoh selama 10 hari untuk meninggalkan Madinah di mana jika mereka gagal berbuat demikian maka hukumannya ialah pancung kepala. Tiada lagi jalan lain untuk mereka berdalih dan melepaskan diri lalu mereka pun membuat persediaan untuk meninggalkan Madinah. Tiba-tiba pemimpjn munafiq Abdullah bin Ubai menasihatkan mereka supaya jangan keluar dari Madinah dan mereka hendaklah bertahan dan menentang habis-habisan di mana kaum munafiq mempunyai 2 ribu orang yang akan bersama Yahudi Bani Nadhir dalam kota bagi menentang Rasulullah ﷺ. Abdullah bin Ubai memberi jaminan bahawa kaum munafiq bersedia untuk mati bersama-sama Yahudi Bani Nadhir.
Allah telah merakamkan pakatan ini dalam ayat 11 surah al-Hasyr :
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ نَافَقُوا يَقُولُونَ لِإِخْوَانِهِمُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَئِنْ أُخْرِجْتُمْ لَنَخْرُجَنَّ مَعَكُمْ وَلَا نُطِيعُ فِيكُمْ أَحَدًا أَبَدًا وَإِن قُوتِلْتُمْ لَنَنصُرَنَّكُمْ وَاللَّـهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ ﴿١١
“Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang munafiq yang berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir di antara ahli kitab : “Sesungguhnya jika kamu diusir nescaya kami pun akan keluar bersama-sama kamu dan kami selama-lamanya tidak akan patuh kepada sesiapa pun untuk menyusahkan kamu dan jika kamu diperangi pasti kami akan membantu kamu. Sesungguhnya Allah menyaksikan bahawa mereka merupakan kaum yang berdusta.”
Perangsang dan jaminan yang diberi oleh Abdullah bin Ubai menyebabkan orang-orang Yahudi itu naik semangat terutamanya pemimpin mereka Huyai bin Akhtab. Mereka mengambil keputusan menghantar utusan kepada Rasulullah ﷺ dengan katanya : “Kami tidak akan keluar dari rumah-rumah kami, lakukanlah apa yang kamu mahu.”
Keadaan semakin tegang, Rasulullah ﷺ bertakbir diikuti oleh para sahabat yang lain. Semangat untuk berperang sedang marak membara terutamanya mereka mengetahui tentang perancangan jahat Yahudi yang ingin membunuh nabi yang disayangi dan dikasihi.
Bala tentera Islam dikerah untuk bertindak ke atas Bani Nadhir di mana kampung mereka mesti diserang. Rasulullah ﷺ menugaskan Ibn Maktum untuk menjadi imam di masjid Madinah. Sayyidina Ali pula ditugaskan sebagai pembawa bendera dalam bala tentera Islam. Memang menjadi kebiasaan yahudi yang pengecut dan tidak berani bertempur secara berdepan di medan di mana mereka berkubu dalam kota dengan melontar batu dan panah serta berlindung di sebalik pokok-pokok tamar dan kebun-kebun mereka. Mereka telah memusnahkan kesemua rumah mereka semasa kepungan itu. Rasulullah ﷺ telah memerintah tentera Islam supaya kebun dan pokok tamar yang menjadi penghalang serangan agar ditebang dan dibakar sebagai tekanan atas kedegilan kaum Yahudi tersebut.
Bersempena dengan arahan ini Allah berfirman dalam ayat 5 surah al-Hasyr :
مَا قَطَعْتُم مِّن لِّينَةٍ أَوْ تَرَكْتُمُوهَا قَائِمَةً عَلَىٰ أُصُولِهَا فَبِإِذْنِ اللَّـهِ وَلِيُخْزِيَ الْفَاسِقِينَ ﴿٥
“Apa sahaja yang kamu tebang dari pohon-pohon kurma milik orang-orang kafir itu atau yang kamu biarkan berdiri di atas pokoknya maka semuanya itu adalah dengan izin Allah dan kerana dia hendak membiarkan kehinaan kepada orang-orang yang fasiq.”
Ketika mereka diserang dan dikepung oleh tentera Islam, rakan-rakan mereka dari kalangan Yahudi yang lain mengambil sikap tidak peduli begitu juga dengan Abdullah bin Ubai serta pengikutnya yang didakwa berjumlah 2 ribu orang di samping qabilah bani Ghatfan yang menjadi sekutu mereka tidak memberi apa-apa bentuk bantuan. Nabi Muhammd ﷺ beserta para sahabat telah mengepung perkampungan mereka selama 15 hari. Sehinggalah Allah mencampakkan ke dalam hati kaum Yahudi dan sekutu mereka perasaan takut dan gentar, lalu mereka menyerah diri dan meletakkan senjata. Kemudian mereka menghantar utusan untuk menemui Rasulullah ﷺ bagi menyatakan bahawa mereka bersedia keluar dari Madinah.
Firman Allah سبحانه وتعالى:
هُوَ الَّذِي أَخْرَجَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مِن دِيَارِهِمْ لِأَوَّلِ الْحَشْرِۚ مَا ظَنَنتُمْ أَن يَخْرُجُواۖ وَظَنُّوا أَنَّهُم مَّانِعَتُهُمْ حُصُونُهُم مِّنَ اللَّـهِ فَأَتَاهُمُ اللَّـهُ مِنْ حَيْثُ لَمْ يَحْتَسِبُواۖ وَقَذَفَ فِي قُلُوبِهِمُ الرُّعْبَۚ يُخْرِبُونَ بُيُوتَهُم بِأَيْدِيهِمْ وَأَيْدِي الْمُؤْمِنِينَ فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الْأَبْصَارِ ﴿٢
Dialah (Allah) yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab dari kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka insaflah dan ambilah pengajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.(Surah Al-Hasyar, Ayat 2)
Akhirnya kaum Yahudi Bani Nadhir bersetuju untuk keluar dari Madinah dengan dijamin keselamatan jiwa mereka. Rasulullah membenarkan mereka keluar dari Madinah bersama-sama hamba abdi mereka dengan membawa makanan dan barangan sekadar muat di atas unta kecuali senjata mereka mesti ditinggalkan.
Mereka pun keluar dari Madinah sebagaimana yang diarahkan di mana didapati mereka telah merobohkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan membawa pintu-pintu, tingkap-tingkap serta barangan rumah yang mampu dibawa bersama. Kebanyakan mereka keluar menunggang 600 ekor unta menuju ke perkampungan Khaibar manakala sebahagian lagi menuju ke negeri Syam.
Firman Allah سبحانه وتعالى:
ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ شَاقُّوا اللَّـهَ وَرَسُولَهُۖ وَمَن يُشَاقِّ اللَّـهَ فَإِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٤
“(Mereka ditimpakan azab) yang demikian, kerana mereka menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya. Dan (ingatlah), sesiapa yang menentang (perintah) Allah, maka sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya.” (Surah Al-Hasyr: Ayat 4)
Hanya 2 orang sahaja yang menerima Islam iaitu Yamin bin ‘Amru dan Abu Sa’ad bin Wahab. Harta tinggalan kaum Yahudi yang lain telah dibahagikan oleh Rasulullah ﷺ kepada kaum Muhajirin Makkah sahaja tanpa kaum Ansar dengan persetujuan mereka. Nabi ﷺ berdoa pada hari itu untuk kaum Ansar dengan sabda Baginda ﷺ: “Ya Allah! Rahmatilah Al Ansar dan anak-anak mereka.”
Di situ juga Nabi ﷺ memberi 2 orang dari kaum Ansar kerana mereka amat miskin. Berikutan peristiwa inilah Allah سبحانه وتعالى telah menurunkan surah Al Hasyr.
Inilah kekuatan dan kehebatan Islam yang tidak mampu dicabar oleh pengkhianat dan musuh pada zaman kegemilangannya. Pada hari ini jika renung kepada nasib umat Islam maka kita dapati ianya masih belum menemui sinar dan kebahagian yang hakiki setelah begitu lama dijajah dan terjajah oleh kesesatan ideologi ciptaan manusia. Betapa ramai umat Islam menjadi pelarian dan juga menjadi orang yang terjajah di negara sendiri malah ada juga yang sanggup menjadi musuh dalam menghuru-hara dan menghancurkan tanah air sendiri.
Banyak negara umat Islam sedang menghadapi serangan luaran dan dalaman yang telah mengorbankan banyak nyawa. Musuh Islam kuffar dan anak didikan kuncu mereka menyerang umat Islam dari pelbagai sudut dengan menanam perasaan penuh kebencian sesama Muslim dan tidak memberi langsung ruang untuk umat Islam bangkit. Suasana ini berlainan dengan zaman kehebatan dan keagungan Islam ketika ia berada ditampuk pemerintahan sebagaimana yang pernah kita saksikan pada zaman Rasulullah ﷺ.
.
والله أعلم بالصواب