BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyeru agar golongan Orang-orang Kelainan Upaya (OKU) diberikan perhatian dan bantuan supaya mereka dapat meneruskan kehidupan yang seimbang dengan anggota masyarakat yang lain untuk sama-sama mengacapi kemakmuran dan kebahagiaan yang dirasakan oleh seluruh rakyat dan pendudukan negara ini.
Dalam pada masa yang sama, titah Baginda, pihak kerajaan telah menyediakan peruntukan dan beberapa skim serta program bantuan bimbingan dan latihan bagi meningkatkan keupayaan mereka.
Semasa keberangkatan Baginda di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1436H/2015M Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, selain bantuan sara hidup, kerajaan juga turut menitik beratkan hal ehwal pendidikan mereka.
“Misalnya kerajaan telah menubuhkan Unit Pendidikan Khas, di bawah Kementerian Pendidikan pada Tahun 1994 bagi tujuan memberikan peluang kepada kanak-kanak golongan berkenaan untuk mengikuti program pendidikan formal yang bersesuaian.
“Beta juga menyambut baik inisiatif berterusan Yayasan Beta dalam memberikan sumbangan, bantuan dan sokongan kepada golongan orang-orang yang berlainan upaya melalui persatuan-persatuan NGO dan pihak-pihak yang berkenaan yang mengendalikan program pembangunan dan program pemulihan untuk mereka.
“Bantulah mereka untuk meneruskan kehidupan yang sama atau seimbang anggota masyarakat yang lain. Doakan mereka untuk sama-sama mengacapi kemakmuran dan kebahagiaan yang dirasai oleh seluruh rakyat dan penduduk negara ini. Demikian harapan tinggi kita bagi mereka.” Baginda Sultan bertitah sudah sememangnya menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan perhatian khusus kepada golongan istimewa berkenaan khasnya di bidang pendidikan termasuk pendidikan rohani dan lain-lain yang diperlukan.
“Ugama Islam sendiri menyuruh supaya memberikan perhatian kepada golongan istimewa berdasarkan Surah ‘Abasa ayat 1 hingga 11, melalui satu peristiwa, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam pada suatu hari didatangi oleh Abdullah bin Ummu Maktum iaitu seorang yang cacat penglihatan untuk meminta bimbingan, sedang pada ketika itu juga, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam sibuk melayani pembesar-pembesar Quraisy, sambil bertujuan mendakwah mereka kepada ugama Islam.
“Melihat kehadiran Abdullah bin Ummu Maktum ini, Baginda kelihatan memalingkan muka Baginda daripada-nya kerana semata-mata ingin menumpukan perhatian kepada pembesar-pembesar Quraisy tersebut.
“Dalam surah ini, Ayat 1 hingga 11, Allah Subhanahu Wata’ala telah menegur nabi-Nya dengan berfirman tafsirnya: ‘Dia (Nabi Muhammad) telah memasamkan muka sambil berpaling kerana dia didatangi oleh orang buta (Abdullah bin Ummu Maktum). Dan tahukah engkau (wahai Muhammad bahawa tujuan orang ini) boleh jadi dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang diambil daripadamu), supaya pengajaran itu memberikan manfa’at kepadanya.
“Adapun orang yang merasa dirinya sudah cukup (tidak berhajat lagi kepada petunjuk), lalu engkau melayaninya, padahal, tidaklah menjadi kesalahan ke atas mu jika dia (Ketua kaum Quraisy) itu tidak mahu membersihkan dirinya (daripada keingkarannya).”
“Dan adapun orang yang bersegera datang kepadamu (untuk mendapatkan pengajaran), sedang dia itu takut (kepada Allah), tetapi (sayang) engkau telah mengabaikan. Janganlah sekali-kali (engkau melakukan perkara yang sedemikian itu), sesungguhnya ayat-ayat Al-Quran adalah peringatan.”
Demikian isyarat Al-Quran bagaimana perlunya melayani orang yang berlainan upaya, jelas Baginda Sultan.
0 comments:
Post a Comment