NUSANTARA SEHATI SEJIWA (162) TETAMU ALLAH SYAHID DI MAKKAH
AL-MUKARAMAH
15 September 2015 pagi ini dari dalam Masjidil Haram @ Baitullah,Makkatul Mukarramah Kiblat umat Islam seluruh dunia
Perjalanan saya ke Masjidilharam untuk menunaikan solat Maghrib petang kelmarin, pada awalnya tidak banyak berbeza dengan hari-hari yang saya lalui sejak menjejaki kaki di bumi Anbiya ini. Melalui jalan yang menghala ke Masjid agung itu, langkah dipercepatkan supaya segera tiba. Sebagaimana saya, begitu juga jemaah lain yang sudah berada di kota kelahiran Rasulullah SAW ini sejak pertengahan bulan lalu, sempena musim haji tahun ini. Masing-masing berpusu-pusu dan menyegerakan langkah untuk segera tiba bagi mendapatkan ruang solat terbaik dan kesempatan beriktikaf sementara menunggu masuknya waktu. Namun, apabila kaki sudah berada di dataran Masjidilharam, cuaca tiba-tiba mula bertukar dan ketika mendongak untuk menyaksikan perubahan yang agak pantas itu, saya melihat langit bertukar menjadi coklat pekat dan angin kencang yang penuh dengan pasir bertiup ke arah muka. Dalam keadaan itu, saya hanya memikirkan betapa kerdilnya jutaan manusia dan segala binaan hebat di Makkah ini jika dibandingkan dengan kekuasaan Allah SWT. Tidak disangka pagi Jumaat yang tenang di Makkah bertukar menjadi kucar-kacir pada petangnya apabila ribut pasir yang kuat melanda sehingga menyebabkan sebuah kren pembinaan di Masjidilharam yang sedang menjalani kerja pembesaran, tumbang dan mengorbankan nyawa sebilangan jemaah dan mencederakan ratusan yang lain. Nyaris dihempap pencangkuk Rakan sebilik, Azri Asmon, 31, yang pada waktu angin kencang melanda sudah berada di dalam Masjidilharam menceritakan bagaimana beliau yang berada di tingkat atas mataf pada waktu itu kerana menunaikan tawaf sunat, menyaksikan sendiri sebuah kren tumbang di atas Masa'a (tempat mengerjakan saie) dan pencangkuknya melayang dekat dengannya sebelum jatuh ke atas ruang tawaf di bahagian bawah. Katanya, orang yang sedang tawaf di mataf kelam kabut berlari mencari jalan keluar dan mereka bertolak-tolak... ada yang jatuh di atas lantai mataf kerana hanya ada dua laluan kecil yang menghubungkan mataf dengan bangunan masjid. "Saya simpati dengan warga tua dan jemaah berkerusi roda yang tersekat dalam kesesakan. Malah, ada jemaah yang cuba turun mataf yang setingginya kira-kira 25 meter itu, mungkin bimbang mataf itu juga akan runtuh ditiup angin. Dalam keadaan itu saya hanya berdiri, melaungkan azan serta berzikir dan berdoa memohon perlindungan Allah SWT. Mujur isteri tidak ikut sama tawaf sunat dan berada di ruang dalam masjid," katanya yang berasal dari Pasir Gudang. Ahli keluarga terpisah Katanya lagi, jemaah yang berjaya masuk ke kawasan perlindungan mula sibuk mencari pasangan masing-masing dan ahli keluarga yang terpisah ketika ribut itu berlaku. Keadaan diburukkan lagi apabila semua talian telefon terputus dan wajah-wajah kebimbangan jelas di muka. Ribut pasir yang tiba-tiba muncul itu turut menurunkan hujan batu dan beberapa jemaah cedera serta luka di badan kerana terkena ketulan ais yang agak besar. Saya turut melihat empat sekeluarga lengkap dengan pakaian ihram berpaut pada tiang lampu di dataran Masjidilharam, cuba menahan diri daripada diterbangkan angin kencang. Kilat sabung menyabung dan guruh berdentum dan untuk beberapa ketika, saya melihat angin pusar yang besar melintasi kawasan dataran, menerbangkan apa saja di dalam laluannya. Angin kencang itu turut menerbangkan penghadang jalan plastik di dataran, seumpama kertas dan mencederakan beberapa jemaah yang tidak sempat mengelakkan diri, terutama warga tua yang panik dan tidak dapat bergerak laju untuk menyelamatkan diri. Dalam kekalutan ribuan manusia yang cemas di dataran Masjidilharam mencari perlindungan, saya dan seorang lagi jemaah India membantu seorang jemaah wanita tua dari Indonesia di hadapan saya yang terjatuh dan cedera akibat terkena penghadang jalan plastik yang diterbangkan oleh angin kencang itu. "Tolong mas, tolong saya, mas. Jangan tinggalkan saya," rayunya berkali-kali diiringi tangisan sambil merangkul erat kaki saya. Mulutnya berdarah dan kedua-dua kakinya tidak dapat digerakkan. Dalam keadaan yang basah kuyup, saya memujuknya dengan berjanji tidak akan meninggalkannya. Bagaimanapun, saya tidak berani untuk mengangkat wanita itu kerana saiz badannya yang agak besar dan bimbang jika beliau mengalami kecederaan dalaman. Sambil melindunginya daripada ribut dan angin kencang, beberapa penghadang besi tumbang dan penghadang jalan plastik juga terbang hampir dengan kami. Ketika itu, saya melayani hati dengan bertawakal kepada Allah SWT untuk melindungi kami dan reda jika itu adalah hari terakhir buat saya walaupun saya tahu peluang untuk selamat lebih cerah jika saya meninggalkan wanita itu dan menyelamatkan diri. Namun, ini adalah Tanah Haram dan setiap insan yang berada di situ akan diuji tahap keimanan mereka seperti beberapa lelaki yang berlari melintasi kami tanpa mempedulikan jeritan pertolongan saya kepada mereka untuk membantu kami yang terdedah kepada pelbagai bahaya di kawasan lapang dataran itu. Hanya doa yang tidak putus-putus dan keyakinan kepada Allah SWT saja yang menguatkan hati saya untuk terus bertahan di situ. Jemaah dari India yang bersama saya itu kemudian berlari di dalam ribut untuk mendapatkan bantuan dan kembali dengan seorang anggota polis yang cuba menghubungi anggota lain. Kekalutan itu berlaku dalam seminit dua, tetapi dalam keadaan itu, waktu bagaikan berputar terlalu lama dan tidak lama kemudian, tiba seorang lagi anggota polis yang membuat pemeriksaan pantas dan memutuskan untuk mengangkat wanita Indonesia itu untuk dibawa ke tempat perlindungan. Berlindung di aras bawah Bersama-sama, kami memapah beliau dalam ribut yang masih kencang itu ke bilik air di aras bawah tanah yang terletak kira-kira 100 meter dari situ. Sebaik tiba di bilik air itu, saya melihat sudah ada beberapa ratus jemaah yang berlindung di situ dan wanita itu segera mendapatkan bantuan daripada jemaah Indonesia lain. Ribut itu reda kira-kira setengah jam kemudian dan perlahan-lahan jemaah yang berlindung mulai keluar untuk mencari anggota keluarga dan sahabat mereka yang terpisah dan melihat kerosakan disebabkan ribut berkenaan. Ribuan pekerja masjid juga pantas membuat kerja pembersihan dengan membuang air yang bertakung di kawasan dataran dan sebahagian masjid. Tidak lama kemudian, azan Maghrib berkumandang dan imam yang bagaikan mengerti, membaca surah al-Zalzalah dan al-Qari'ah yang menceritakan mengenai hari kiamat dan tanda-tandanya, pada rakaat pertama dan kedua solat. Surah al-Zalzalah yang mengandungi lapan ayat itu bermaksud: "Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat), dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung)nya, dan manusia bertanya: "Mengapa bumi (menjadi begini)?" Pada hari itu bumi menceritakan beritanya kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang sedemikian itu) kepadanya. Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)-Nya dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)-Nya pula." Kedengaran esak tangis jemaah apabila surah berkenaan dikumandangkan. Selepas solat, saya terus pulang ke hotel kerana keletihan dan agak trauma. Ketika itu saya mendapat tahu ada jemaah yang meninggal dunia dan cedera dalam kejadian berkenaan. Al-Fatihah buat jemaah yang meninggal dunia. Apa pun, jika ditanya kepada saya, tiada tempat lain yang saya ingin menghembuskan nafas saya yang terakhir selain daripada di Tanah Haram. Semoga kejadian ini memberikan kita keinsafan akan kekuasaan Allah SWT dan menambah ketabahan dalam menghadapi dugaan-Nya. Penulis ialah Pengurus Besar Komunikasi Korporat Pharmaniaga Bhd
Datuk Faiz uploaded a new video.
Mohon kita semua ambil iktibar dan insaf atas sunnatullah ini . Tiada yang mustahil dengan izin Allah dan kadangkala di luar batas logik pemikiran manusia..Allahuakbar ..
1 ZULHIJAH 1436H
15 SEPTEMBER 2015
0 comments:
Post a Comment