ARKIB : 19/06/2011 MINGGUAN MALAYSIA
Belasungkawa Amirul Fakir
Oleh Raja Ahmad Aminullah
Dalam sebuah sajaknya mengenderai Sang Angin, Amirul Fakir menulis:
Sejadah yang berdarah.
Aku sering mendengar deru
sesekali kuhirup nyamannya
sesekali terkesiap oleh lecutan
yang melukakan.
Aku juga terpesona pada serumu:
“kenderailah ia sebelum terlewat
kerna di pulau itulah destinasi kita”,
laungmu berulang kali.
Aku melihat kau
alon-alon mengenderainya
di hujung sana pulau impian itu
berbalam-balam
suaramu semakin bergetar
berbaur dalam siutan terakhir.
*(Daripada kumpulan sajak Fosil, Rumah Penebitan Suara Suara 2006)
Barangkali antara kesan hasil daripada dunia perbukuan dan
penulisan adalah,sepertimana yang dikatakan oleh seorang
ahli falsafah Jepun, untuk merakam ‘traces of dreams’.
Dan kalaulah itu benar, maka Amirul Fakir melalui kumpulan
sajaknya Fosil dan kemudian antologi cerpennya Mea Culpa,
telahpun berupaya meninggalkan legasi atau warisannya itu.
Ibnu Khaldun ahli falsafah, sosiologi dan sejarawan telah
banyak mengingatkan masyarakat sezamannya mengenai perkara ini.
Pengarang Muqadimah itu berulangkali menyebut peri pentingnya
dunia penulisan dan penghasilan buku dalam upaya untuk membangun
sesebuah tamadun. Pada tahun 1375, Ibnu Khaldun pernah mengkritik
tindakan penguasa atau elit masyarakat pada zaman sebelumnya
sering membakar buku dalam usaha untuk mengabsahkan pemerintahan
yang baru.
Amirul Fakir atau nama sebenarnya Amiruddin bin Hussin dilahirkan
pada 8 April 1967 di Ipoh , Perak telah kembali ke rahmatullah
pada 10 Jun lalu. Amirul adalah seorang penyair , penulis,
penterjemah dan editor bebas. Beliau pernah bekerja dengan
Penerbangan Malaysia di Lapangan Terbang Kuantan pada
tahun 1980-an. Dia terlibat dengan penubuhan kelompok
Angkatan 21. Antara kawan-kawan rapatnya yang juga menjadi
inspirasinya adalah Marsli N.O.
Di sebalik senyumnya yang hampir tak pernah kering sewaktu
bersama dengan kawan-kawan, dia juga merupakan seorang yang
intens dan serius apabila bersama sembang-sembang ataupun
wacana informal mengenai dunia seni, budaya dan peranannya
dalam pembinaan minda bangsa dan tamadun manusia.
Dalam hal ini dia amat percaya pada pentingnya peranan
seniman, penulis, penyair dan aktivis budaya dalam mengerakkan
hasrat ini. Dalam catatan ringkasnya bertajuk Memalsukan
Kesenimanan yang tersiar dalam majalah Suara Seni Mei 2003,
Amirul menulis:
"(Kerana seniman) telah memilih landas ini sebagai suatu cara
untuk memperjuangkan kebenaran dan bersiaga memancung setiap
yang bernama kebatilan, segala musibah yang menabrak pasti
menjadikan ia bertambah sigap dan tidak mudah pula dihinabobokkan.
“Hasrat mulus untuk membebat segala yang bernama kebejatan,
menyeret seorang seniman atau sasterawan mengharungi segala
kejerihan dalam kehidupan realitinya dengan penuh rasa
pasrah tanpa sama sekali menuding ke arah massa dengan
maksud menyalahkan. Malahan ia tetap tegar bersama harapan
bahawa akan muncul juga segala yang menjadi idamannya.”
“Tetapi apakah penyataan itu sesuatu yang telah dimeterai
oleh para seniman atau sasterawan secara alami atau ia
sekadar retorik sang seniman untuk menyembunyikan kaduk-kaduk
yang akan tampil pada situasi tertentu. Sembari sebelah lengan
diacungkan, menuntut kebenaran manakala sebelah pula menggapai
mahu memiliki material yang disodorkan dan tentunya dengan
sederetan syarat yang memualkan.
Apakah sudah ada senyuman yang merelakan dirinya didandan
dengan kostum si badut dan bersedia pula untuk membeber
wejangan para oportunis hanya kerana tergiur oleh bayangan
material atau nama yang bakal dinobatkan di persada seni”.
Saya teringat kepada apa yang ditulis oleh Amirul dalam
eseinya Biar Berjuang Untuk Kebenaran mengenai pelancaran
kumpulan sajak pertama saya, Menyarung Jiwa oleh Sasterawan
Negara Muhammad Hj Salleh. Amirul telah menulis seperti berikut.
“Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah memulakan bicara seni
dengan melontarkan ungkapan sinis, antaranya, “ini bukan zaman seni,
ini zaman menyingkirkan seni!”, “ini zaman mendapatkan MBA!” dan
“ini adalah suatu zaman yang tidak mencari puncak falsafah,
tetapi suatu zaman mencari puncak material dan keuntungan"
Kini Amirul telah pergi, pulang kepada rahmat al-Khaliq.
Bagi kita yang telah mengenal dan bertuah bersama-sama dengannya,
marilah kita kenang keberadaanya di dunia ini dengan memanfaatkan
warisannya. Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan semua sudut
pandangnya, itu merupakan perkara kedua. Yang penting dia seorang
yang meraikan ide dan wacana, meskipun gerak gerinya terbatas
berbanding dengan seniman-seniman dan penulis tersohor yang lebih
mudah untuk bergerak ke sana sini.
Si Burung Hijau
Tidak ada gigil bergayut di dada
saat algojo menajamkan gelap di mata
yang bergeming, hanya alon-alon
berbenturan disela-sela serakan awan
kepak mulusmu kedengaran di kuping
menandai doa yang di titik di pada nyala
berani telah dimakbulkanNya
dan para malaikat dalam arakan cahaya
menguliti tembang kudus tatkala dempangan
kepak merafak ; semakin panar dari
aroma mersiu menerombosi cakerawala mimpi
mengitari petala demi petala surgawi
menyeru tentang bersemayamnya para
syuhada terpilih ini.
* (Puisi Si Burung Hijau karya Amirul Fakir
dari antologi Anti Perang: YKP, 2003)
Rashidi Bin Abdul Kharis:
Rakan seperjuangan dan dunia puisi dan PPSB.....
moga Allah merahmati pemergiannya.....Al-Fahtih?ah....
4 hours ago · Like
Shakierah Elmi-ihtisham:
Semoga rohnya dicucuri rahmat..
4 hours ago · Like
Rahmaniah Hj Kantan:
ALfatehah. SEmoga rohnya dicucuri rahmat.
Seorang lagi penulis PErak meninggalkan kita.
tetapi nama mereka tetap harum di persada seni.
4 hours ago · Like
Rabeah Mohd Ali:
Pergimu mengadap Illahi,
Perjuanganmu di dunia tamat kini;
Perjuangan di akhirat kini dilalui,
Moga bekalan akhirat mencukupi.
4 hours ago · Like · 1 person
Rabeah Mohd Ali:
SYUKUR TAK TERUCAP ROHMU DI KALA INI
Ilmu yang ditinggalkan
Bagaikan Bunga-Bunga Syurga
Mekar mewangi di laman hati
Tumbuh subur di perdu kalbu
Lebat buahnya merimbun
Mencecah bumi
Lalu dipetik
Dimakan
Disemai
Dibajai
Dengan Cinta Suci
Meng- Esa- kan Allah seabadi takwa
Itulah matlamat perjuanganmu tika di dunia dulu
Kini menjadi bekalan untuk dituai di alam akhiratmu
Syukur tak terucap rohmu di kala ini!
Karya: Rha NS
20 Julai 2011
(Insya-Allah disiarkan di blog: sasterakuduniaku.blogspot.com)
4 hours ago · Like · 1 person
(Al - Fatihah untuk Almarhum Amirul Fakir moga rohnya dimasukkan di kalangan Para Syuhada)
(PETIKAN DARIPADA TEMAN FACEBOOK RABEAH MOHD ALI)
20 Julai 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment