Saturday 11 May 2013

'SELAMAT HARI IBU KEPADA HAJAH FATIMAH BONDA TERSAYANG'




'SELAMAT HARI IBU KEPADA HAJAH FATIMAH BONDA TERSAYANG'

Nama ibuku Hajah Fatimah,
Baik hatinya bukan kepalang;
Orangnya ramah dan tamah,
Ke mana pergi tetap disayang.

Ibu Fatimah wanita rupawan,
Cantik rupa cantik bahasa;
Kerana itu Mohd Ali tertawan,
Diterima pinangan kerana gagah perkasa.

Dilayan suami bagaikan permaisuri,
Hidup berkeluarga bagaikan di Syurga;
Wajah isteri bagaikan bidadari,
Menyayangi suami makan minum dijaga.

Bapa ke laut ibu di rumah,
Menjaga anak-anak penuh kasih sayang;
Tetamu datang dilayan hormat,
Ke mana pergi semuanya sayang.

Ibu Fatimah berkorban apa saja,
Demi kepentingan anak-anak tercinta;
Pelajaran diutamakan buat kuteruja,
Sedari kecil kutanam cita-cita.

Kasih ibu sama rata,
Anaknya sepuluh semuanya disayangi;
Ibu mengasuh dengan kasih dan cinta,
Cinta dicurah terus mewangi.

Ibu dan bapa pasangan bahagia,
Ke mana pergi selalu bersama;
Semua anak-anak terasa bahagia,
Kami disayangi semuanya sama.

Ibu dan bapa pergi ke laut,
Pergi ke laut mengambil bunga karang;
Cinta ibu tak pernah surut,
Dari dulu hingga sekarang.

Kata ibu datukku seorang pahlawan,
Menyandang jawatan hulubalang Raja Bugis;
Kepahlawanan datuk buatku teruja,
Gugurnya datuk buatku menangis.

Ibu dan bapa berpakat bersama-sama,
Besarkan anak-anak tanpa balasan;
Budi baik anak-anak semua diterima,
Sebagai balasan yang tak pernah bosan.

Ibuku sedih aku pun sedih,
Pemergian bapa masih terkesan;
Hati ibu memanglah pedih,
Sayangilah anak-anak bapa berpesan.

Hampir berbulan ibu termenung,
Pergi ke pusara melepas rindu;
Kasih sayang suami terkenang-kenang,
Rindukan suami dalam tangis dan sendu.

Mujurlah ada anak-anak ramai,
Senyum dan tawa pengubat rindu,
Hati ibu terasa damai,
Kasih sayang anak-anak tetap berpadu.

Ibu besarkan anak-anak tanpa bapa,
Cekalnya ibu pergi berniaga;
Segala cabaran dihadapi pelbagai rupa,
Demi kesejahteraan kami sekeluarga.

Ibuku wanita pandai berniaga,
Dicongak dihitung dengan bijaksana;
Pelanggan dilayan seperti keluarga,
Keberkatan berniaga keuntungan diterima.

Ibuku kini sudah bersara,
Perniagaan diwarisi oleh kakakku;
Rehat ibuku ibu disara,
Pengorbanan ibu tetap di hatiku.

Pengorbanan ibu dihargai anak,
Dirikan istana untuk ibu tersayang;
Kini anak beranak pinak,
Hidup bercucu cicit sayang menyayang.

Di pagi Syawal bahagianya kami,
Anak cucu cicit berkumpul bersama;
Begambar sekeluarga untuk dikenangi,
Ibu gembira hadiah diterima.

Bahagia ibu dikelilingi anak cucu,
Ibuku panyayang jadi nenek penyayang;
Ke mana pergi disayangi anak cucu,
Anak dikasihi cucu disayang.

Kasih ibu bawa ke Syurga,
Kasihkan isteri hingga ke mati;
Bahagia hidup kita sekeluarga,
Sayang menyayangi lekat di hati.

Indahnya hidup bersama ibu,
Hidup penuh kasih dan sayang;
Ibuku satu dalam beribu,
Kasih sayang ibu terbayang-bayang.

Karya:Ratu Rimba Niagara
12 Mei 2013
( Bersempena Memperingati Hari Ibu Sedunia )

Puisi Ibuku Sayang

Ibuku sayang
Kusayang ibu
Kukasih ibu
Selagi hayat di kandung badan.

Dalam usia selewat begini…
Aku masih belum dapat membalas jasamu.
Mungkin tidak sekarang
Mungkin akan datang, dapat membalas jasamu.

Semalam aku bermimpi…
Ibu menghadiahkan aku sepohon
Pokok berbuahkan permata.
Aku memetik gugusan permata
Dari tangkainya.
Apa maknanya Allah saja yang tahu.

Terima kasih ibu…
Kerana sudi membesarkan dan
mendidik kami dengan kasih
dan sayang yang teramat ikhlas.
Moga Allah sahaja yang dapat membalas-Nya.

Selamat hari ibu.
Aku sayang ibu selagi hayat di kandung badan.
Moga kita sekeluarga dapat hidup di alam Syurga nanti.
Amin Ya Rabbal A’Lamin.

Karya Ratu Rimba Niagara
12 Mei 2013
( Sempena Memperingati Hari Ibu Sedunia )
Like · · ·

(PETIKAN DARIPADA WALL RATU RIMBA NIAGARA)
2 Rejab 1434H
12 Mei 2013
WWW

0 comments:

Post a Comment

 
;