Fizikal bukan menentukan hati seseorang itu sebesar gajah atau pon hanya sebesar kuman .. :) By: Panglima Perang
KUBITAK
Hari itu satu mesyuarat agong KUBITAK diadakan. KUBITAK adalah singkatan nama kumpulan Binatang Tasik Kenyir. KUBITAK telah diwujudkan dua puluh dua tahun yang lalu.
Selama sudah dua puluh dua tahun bermesyuarat agong, pada kali ini pemilihannya begitu sengit. Ketua Satu KUBITAK selama ini tidak pernah tercabar tetapi pada kali ini benar- benar tercabar.
Rata-rata mengatakan Ketua Satu KUBITAK tidak ada harapan untuk menang justeru mereka secara peribadi berjumpa dengan Ketua Satu KUBITAK.
"Maafkan saya... saya ingin memberikan cadangan kepada tuan hamba agar meletakkan jawatan sebagai Ketua Satu KUBITAK secara terhormat daripada gugur di mesyuarat Agong kelak.Pihak kami akan memberi saguhati yang amat berharga tanda terima kasihnya kami terhadap pengunduran tuan hamba," kata wakil KUBITAK.
"Tidak...! Hamba tidak akan mengundur diri walau apapun yang disogokkan. Hamba berjuang bukanlah kerana material tapi adalah minat yang terlalu mendalam," tegas Ketua Satu KUBITAK.
"Tapi... tuan hamba telah memegang jawatan Ketua Satu KUBITAK sejak bermula KUBITAK ditubuhkan, banyak rungutan daripada para ahli yang didengari iaitu tiada membaharuan dalam KUBITAK masih di takuk lama, tuan hamba kena faham itu.Tuan hamba pun sudah tua, janganlah terlalu tamak... berilah peluang kepada ahli lain untuk menerajuinya."
"Tidak! Hamba akan tetap bertanding walaupun hamba kalah dalam pengundian kelak. Tapi hamba yakin hamba boleh menang."
Ketua Satu KUBITAK sedar kedudukannya kini tegang kerana dia terpaksa bersaing dengan wakil dari RASAKSA iaitu kumpulan gajah.
Desas desus yang didengari bahawa besar kemungkinan wakil RASAKSA akan menang kerana dalam banyak perkara RASAKSA banyak membantu kumpulan binatang lain dari segi material.
Dalam zaman sekarang idea saja tidak mencukupi jika tiada kekuatan yang kukuh. Telah banyak jasa yang ditaburkan oleh Ketua Satu RASAKSA kepada ahli-ahli bawahannya. Begitu juga kepada ahli-ahli binatang yang lain.
Mesyuarat Agong KUBITAK dirasmikan oleh Yang Mulia Merak. Sebelum Yang Mulia berucap Ketua Satu KUBITAK memberi ucapan.
Ucapan kali ini amat berbeza sekali jika dibandingkan ucapan tahun-tahun sebelumnya. Ucapannya banyak berbaurkan sindiran sinis! Memuji diri dari apa yang telah dikorbankan selama ini, kekecewaan kerana ada pencabarnya lebih-lebih lagi jika dia tewas bererti tewasnya nanti sebagai mati seorang pejuang. Ucapannya hampir memakan masa empat puluh lima minit.
"Ini nak berucap ke atau nak berkempen?" bisik salah seorang pemerhati dari kumpulan seladang.
"Agaknya dia sudah kelewatan!" jawab rakannya.
"Engkau agak siapa yang menang?"
"Rata-rata mengatakan RASAKSA yang menang! Di akhbar-akhbarpun mengatakan RASAKSA boleh menang mengikut dari ramalan wakil yang mengundi."
"Engkau tengok sejak dia memerintah selama dua puluh dua tahun mana ada perubahan dalam KUBITAK. Sepatutnya setiap tahun dia mesti menerima cadangan-cadangan para perwakilan tapi tidak! Cadangan perwakilan hanyalah mencurah ke daun keladi! Cadangannya...hanya untuk jenis binatang yang sealiran dengannya hingga dia dikurniakan darjah kebesaran."
"Engkau dengar tu... untuk menerajui tampuk pemerintahan mestilah mempunyai ilmu yang kukuh kalau hanya gagah tidak akan sempurnalah!"
"Mentang-menanglah dia tu kancil yang bijak dia tidak langsung memahami perasaaan gajah."
"Gajah dulu bukan gajah sekarang! Gajah sekarang di samping mempunyai kekuatan, dia juga mempunyai pengaruh yang besar untuk menaikkan nama KUBITAK yang selama ini tidak dikenali ramai di kalangan manusia. Kerana daya usaha gajahlah Tasik Kenyir yang selama ini tidak dikenali ramai menjadi tumpuan para pelancong. Dulu binatang-binatang di sini menjadi buruan manusia tapi kini dilindungi dan menjadi tontonan manusia."
Setelah Ketua Satu KUBITAK habis berucap, Yang Mulia Merak pula berucap.
Antara ucapannya sedia memberi sokongan kepada setiap aktiviti yang diadakan oleh KUBITAK dan sedia membantu jika ada masalah yang hendak diselesaikan. Yang Mulia dengan senang hati menghadiahkan kepada KUBITAK sebuah Taman Bunga seluas dua ratus hektar untuk ahli-ahli KUBITAK beristirehat tanpa diganggu oleh manusia. Beliau juga berharap KUBITAK akan terus maju untuk mengharumkan nama Tasik Kenyir.
Mahupun pihak perwakilan dan pemerhati begitu resah tidak sabar-sabar lagi menantikan keputusan. Melihat dari suasana itu rata-rata mengatakan kancil akan tewas yang menang gajah. Melihat dari air muka kancil yang resah ternyata dia akan tewas manakala gajah begitu yakin akan menang kerana penyokong- penyokongnya begitu banyak.
Pengundian dijalankan secara tertutup. Setelah selesai pembuangan undi, mereka berehat selama satu jam setengah. Masing-masing bercerita sesama sendiri mengatakan kancil akan tewas kali ini. Jika kancil tewas bererti banyaklah perubahan KUBITAK akan berlaku secara mendadak.
Semua jenis binatang baik besar mahupun kecil akan sedia diberi bantuan baik dari segi moral mahupun materiel agar tidak ketinggalan untuk dikenali sebagai binatang popular. Itulah janji gajah sekiranya dia menang.
Tibalah masa yang ditunggu-tunggu iaitu pengumuman siapakah yang dipilih oleh perwakilan untuk menerajui Ketua Satu KUBITAK yang baru.
Semuanya seperti terpaku apabila diumumkan kancil menang 42 undi manakala kajah 15 undi, undi rosak 1. Seakan tak percaya dengan keputusan itu. Tapi itulah yang benar. Suasana yang riuh pada awalnya menjadi muram. Seakan mereka tidak dapat menerima dengan keputusan itu.
Jelas terbayang di wajah masing-masing kekecewaaan. Yang mana kecewa lekas-lekas keluar dari situ. Tidak mahu lebih lama.
Kancil tersenyum lebar apabila diumumkan sebagai pemenang. Tapi hatinya Tuhan saja yang thau betapa bimbangnya dia di awal pertarungan. Kini dia boleh meneruskan perjuangannya kembali. Barangkali dia akan membuat perubahan kerana dia takut peristiwa ini berulang kembali.
"Saya dari kumpulan seladang ingin mengatakan yang kalah tak semestinya ia tewas! Dan yang menang tak semestinya ia berjaya, justeru marilah kita sama-sama berganding bahu untuk berkerjasama di antara satu sama lain. Janganlah jadikan pertandingan ini sebagai jalan untuk menuju perpecahan sesama sendiri. Jadikan pemilihan pada hari ini sebagai ikhtibar di masa-masa akan datang."
Ketua Satu RASAKSA keluar dari dewan. Di wajahnya tidak langsung menampakkan kekecewaan. Beberapa wartawan dari pelbagai media massa meluru kepadanya.
"Apa pendapat tuan hamba mengenai kegagalan tuan hamba menjadi pucuk pimpinan?" Tanya merbuk dari akbar Burung.
"Ini menandakan bahawa ahli KUBITAK tidak mahu adanya perubahan," jawabnya tenang.
"Adakah tuan hamba akan memberikan kerjasama kepada KUBITAK?" sampuk zirafah wartawan dari majalah, "ZIRA"
"Iya hamba akan memberikan kerjasama kepada KUBITAK walaubagai manapun idea yang ingin hamba serapkan kepada KUBITAK akan hamba serapkan kepada RASAKSA juga. Hamba buat begini asalkan dapat mempopularkan binatang-binatang Tasik Kenyir keseluruhannya."
Karya: Ratu Rimba Niagara 23 Disember 2012 Like · · Unfollow Post · December 23 at 10:15pm
Seen by 41 Boni Shah Haffizzurine likes this. Boni Shah Haffizzurine setelah sy teliti,tersirat sindiran sinis yang jujur...syabas n teruskan berkarya yer... 7 hours ago · Unlike · 2 Ratu Rimba Niagara Terima kasih atas sokonganmu. 3 minutes ago · Like
(PETIKAN DRIPADA WALLL PUJANGGA RATU RIMBA CINTA 5 BENUA) 28 Disember 2012
0 comments:
Post a Comment