Thursday, 2 June 2011

SKRIP DRAMA PENTAS PENGANTIN RAJA RIMBA

SKRIP DRAMA PENTAS PENGANTIN RAJA RIMBA

BABAK PERTAMA  (PERTENTANGAN)
Dimulakan dengan syair:

Tersebutlah kisah satu cerita,
Puteri Monyet yang cantik jelita;
Berhemah tinggi tidak terkata,
Di mana saja berdukacita.

Singa betina : Hei  monyet betina! Kau cermin sikit
muka kau tu… dahlah hodoh ada hati nakkan harimau.                
                                  
Monyet betina: Yang engkau sakit hati dengan aku ni
kenapa? Aku tak pernah pun hina engkau  atau sesiapa
saja. Walaupun aku hodoh tapi hati aku taklah sebusuk
hati engkau! Mentang-mentanglah engkau binatang yang
kuat… nak tunjuk ego pulak. 
                                          
Singa betina: Engkau ni perasan sangat. Harimau tengok
muka engkau pun dah nak loya.

Monyet betina : Ah! Engkau tu memang cemburu dengan aku,
sebab selama ini tak ada binatang yang minat dengan engkau
walaupun  sekaum denganmu.


Singa betina : Untuk mengetahuan engkau monyet, harimau
tak layak dengan engkau tapi…kalau dengan aku bagaikan
pinang dibelah dua.(GELAK).


BABAK KEDUA (SEMANGAT)

Raja harimau pilihan hati,
Mengadu hasrat pada merpati;
Agar cinta jadi sejati,
Jasa si burung tetap diingati.

Burung :  Sang monyet…  aku tahu engkau sedang
memendam rasa cinta  terhadap harimau. Kenapa kau
tak mahu terus terang aje padanya?      

Monyet :  Aku malulah… siapalah aku hidung tak
mancung pipi tersorong-sorong.

Burung :  Zaman sekarang ni… zaman terus terang,
siapa cepat dia dapat.

Monyet :  Bukan semudah itu burung, kalau aku jatuh
cinta dengan kaum sejenis dengan aku tak apalah.
Ini dengan keturunan garang lagi ganas.
Silap… silap haribulan aku yang dibahamnya.


Burung : (Ketawa)  Ha… tahu pun engkau takut.


Monyet : Apa nak buat… hati dah terbekenan, nyawapun
sanggup digadaikan.


Burung : Begitu hebat sekali cinta engkau tu. Sanggup
menggadaikan nyawa.


Monyet : Aku harapkan cintaku yang tertanam di sanubariku
menjadi kenyataan  suatu hari nanti.


Burung : Aku kasihankan kau monyet.  Angan-angan  mu
tinggi melangit. Kadang  kala aku fikirkan engkau ni
dah tak siuman kerana membuat keputusan  yang tak
masuk akal.


Monyet: Bukan engkau je kata aku macam tu.  Boleh dikatakan
semua mengatakan aku dah gila.(MENGELUH) Manalah tahu satu hari
nanti tuah menyebelahi  aku.  Masa tu baru engkau tahu siapa aku.


Burung : Tak payah engkau cerita, semua  binatang tahu…
siapa engkau.Seekor binantang yang pintar, suka menolong
kawan, bercita-cita tinggi, berwawasan, berjiwa murni dan kuat
berpegang kepada falsafah.


Monyet: Ke situ pulak dia. Aku tak mintak pun kau puji aku.
Yang aku mahu kau berikan aku pendapat bagaimana engkau dapat
menolong aku dalam  mengeratkan lagi percintaanku dengan harimau.



Burung : (KETAWA)  Monyet… monyet… engkau ni tak kenal
erti putus asa.  Baiklah… engkau karang surat menyatakan
hasrat hati engkau pada harimau… biarkan aku poskan surat
engkau tu pada harimau.

Monyet : (SENYUM) Ha… macam tulah kawan.Sanggup menolong kawan.


BABAK KETIGA  (PERTENTANGAN)


Puteri Monyet memendam rasa,
Dihina kawan tidak berasa;
Tidak mudah berputus asa,
Korban cinta untuk berjasa.


Monyet  Jantan : Kenapa engkau tak sukakan aku? Sedangkan
aku boleh berikan segala-galanya pada engkau.Kitakan satu jenis,
satu hati.


Monyet Betina : Engkau ingat,cinta boleh dibeli dengan sekelip mata?


Monyet Jantan :  Bukan aku saja yang menentang  percintaan engkau tu,
malah semua  binatang.


Monyet Betina :  Ada aku kisah?  Yang bercintanya aku… bukan mereka.


Monyet Jantan :  Apa kelebihan  harimau tu hinggakan kau sanggup
melupakan asal  usul kau binatang yang lemah?


Monyet Betina :  Cinta itu unik, murni… memerlukan pengorbanan.
Apa salahnya aku  korbankan diri aku untuk cinta demi semata-mata…



Monyet Jantan :  Kepentingan engkau! Engkau ingin mengejar
glamor.  Biarlah semua  binatang mengatakan betapa hebatnya
engkau dapat memikat raja segala binatang. Yalah punya kuasa,
tampan dan digeruni oleh semua  binatang.  Macam aku ni apalah
ada.


Monyet Betina :  Betul kata engkau tu,  kerana dia mempunyai
kuasa dan digeruni oleh  binatang maka aku jatuh cinta dengannya.


Monyet Jantan :  Memang aku dah agak dari wal jadi engkau ni
gilakan kuasa hingga  sanggup  menggadai cinta.  Aku jijik! Jijik!
Mempunyai kaum yang  sejenis macam ni!


Monyet Betina :  Engkau nak pandang jijik ke atau apa saja yang
engkau nak kata… katalah. Aku tak kisah. Asalkan cinta aku tercapai
akhirnya.


Monyet Jantan :  Aku pelik bin ajaib dalam sekelip mata kau dah
berubah. Dulu engkau tak macam ni.  Kau terlalu pentingkan kaum
kau. Engkau  bersikap perkauman.


Monyet Betina :  Kerana ingin mengikis sikap perkauman yang
menebal dalam diri  aku inilah aku mengambil  keputusan untuk
jatuh cinta dengan  harimau.


Monyet Jantan :  Maksud kau?


Monyet Betina :  Cuba kau fikir di dalam hutan ini terdiri
daripada  pelbagai jenis  binatang.  Kalau masing-masing asyik
mementingkan  kaumnya  saja tanpa memikirkan kepentingan
binatang lain. Kalau macam tu bagaimana kita hendak bina
generasi kita yang berwawasan   dalam keadaan huru hara.
Siapa yang susah? Anak cucu kita yang susah.  Apa salahnya
kita merancang dari sekarang agar anak cucu kita mengecap
kebahagiaan yang hakiki.


Monyet Jantan : Aku tak terfikir pun yang kau berfikiran
sampai ke situ.


Monyet  Betina: Salahkah aku… aku korbankan cintaku untuk
anak cucu  kita  dan seterusnya kedamaian hutan ini.  Jika kita
hidup dalam   keadaan aman damai tak siapapun berani untuk
menceroboh  hutan ini.  Kita buktikan pada manusia, walaupun
kita binatang  tapi kita lebih mulia daripada mereka.  Aku ingin
memadamkan  dalam kamus manusia kata istilah,
‘ Peragai seperti binatang.’


Monyet Jantan :  sekarang baru aku faham, mengapa engkau
jatuh cinta dengan  harimau.  Mulai sekarang aku akan memberi
sokongan  agar  cita-cita kau tercapai.


BABAK KEEMPAT  (JATUH CINTA)


Raja harimau termakan budi,
Sakitnya kekasih tidak terperi;
Menentang sawa kuat menjadi,
Cinta dibalas patut diberi.


Harimau :  Sedapnya buah durian tu… kalau aku dapat makan…
alangkah…


Monyet  :   Aku faham  kau inginkan buah durian, biarlah aku
tolong ambilkan.


Harimau :  Sungguh baik hati mu monyet…  aku kuat tapi aku
tak boleh memanjat. Sungguhpun aku binatang yang hebat tapi
aku ada kekurangan.


Monyet  :  Tuhan itu Maha Adil.  Semua makhluk yang
dijadikan mempunyai  kelebihan dan kekurangan.  Justeru
apa salahnya kelebihan yang   ada pada aku ini dapat aku
membantu binatang-binatang lain.


Harimau :  Kata-kata engkau tu menyedarkan aku.
supaya kita jangan hidup sombong dan bongkak.
Tiada yang kekal di dunia ini melainkan Allah.


Monyet  :   Ha… makanlah sepuas hatimu harimau.
( MONYET MEMBERIKAN  DURIAN)


Harimau :  (CUBA MENGOPEK  DURIAN GAGAL LALU MENGELUH)


Monyet  :  Nanti luka … harimau.


Harimau :  Selalunya aku melukakan mangsaku tapi kopek
durian pun aku tak boleh.


Monyet  :  Kali ni biarlah kuku kau yang tajam tu hanya akan
berbisa bila hendak  menyelamatkan penghuni rimba ini ye.
Biar aku tolong  kopekkan  durian ni.


Harimau :  Hati-hati monyet… nanti luka tanganmu.


Monyet  :  Tak apa aku dah biasa terluka. 
                                    

Harimau :  Lain macam bunyi  nye tu.  Mulai hari ini
tiada siapa akan berani melukakan  kau lagi.  Kalau berani…
mari bertarung dengan aku dulu.


Monyet  :  Ha… dah buka pun…makan puas-puas.
Kalau tak cukup aku ambil lagi.


(TERUS MEMANJAT POKOK TANPA  MENYEDARI ADA
SEEKOR ULAR SAWA)


Monyet  :  Tolong lepaskan aku! ( DIBELIT OLEH ULAR SAWA).


Harimau :  Hai ular sawa! Kalau engkau benar-benar gagah
mari turun ke mari. Jangan dengan binatang yang lemah engkau
nak tunjukkan kekuatan.


Ular Sawa: Engkau hendak mencabar aku ya harimau.
Baiklah sekarang aku  turun.


(HARIMAU BERLAWAN DENGAN ULAR SAWA AKHIRNYA
ULAR SAWA TEWAS)


Ular Sawa : Engkau memang gagah.  Maafkan aku.
Aku mengaku  kalah.


Harimau   : Engkau tak salah dengan aku tapi dengan monyet.
Baik engkau  pergi minta maaf dengannya.


Ular  Sawa : Monyet maafkan kerana mengganggu engkau.


Monyet     : Aku maafkan .  Lain kali jangan tunjuk kuat pada
binatang yang  lemah. Sepatutnya binatang yang kuat membantu
yang lemah.  Barulah aman. Sudahlah tu mari kita makan bersama-
sama.

(KETAWA BERSAMA-SAMA)


BABAK KELIMA (SURAT)

Raja Harimau menerima surat,
Surat dibaca menyatakan hasrat;
Cinta membara bertambah sarat,
Kalau jodoh telah tersurat.


Harimau :  Surat siapa yang engkau bawa tu burung?


Burung  :  Surat istimewa ni untuk engkau.


Harimau :  Siapa ya… yang berani hantar surat istimewa
pada aku?


Burung  :  Surat cinta.


Harimau :  Eh! Siapa pulak yang berani jatuh cinta dengan aku?
.


Burung  :  Kalau tak percaya … bacalah. (MEMBERI SURAT)
Selamat tinggal! Selamat membaca…


Harimau :  (Membuka surat lalu membaca)


Surat Monyet :  Salam sejahtera buat harimau,
janganlah terperanjat apabila membaca warkah
pertamaku ini. Biarlah aku berterus terang
padamu bahawa aku telah jatuh cinta padamu
ketika pertemuan yang tidak disengajakan tempoh
hari. Maaf!Kerana jatuh cinta tanpa pengetahuanmu.

Kegagahanmu melawan ular sawa  amat mengagumkan aku.
Syabas! Kau telah menggunakan kekuatanmu untuk
menyelamatkan nyawaku.  Aku harap kegagahanmu
berkekalan selamanya  untuk   menyelamatkan nyawa
beribu-ribu binatang di rimba ini tanpa mengira
siapa pun mereka. Iyalah kalau difikirkan siapalah
aku untuk jatuh cinta padamu. Ah! Malunya aku.

Aku harap engkau tidak memarahi aku setelah 
mendengar pengakuan ikhlas dariku.
Sekiranya kau balas cintaku betapa bahagianya aku.
Secara tak  lansung segala cita-citaku menjadi
kenyataan. Oleh itu agar aku  tidak ternanti-nanti
kau balaslah warkahku ini.

Akhir kata sambutlah salam hormat dariku,

Yang perasan,

Monyet.


Harimau Jantan : (SENYUM) Sambil melekapkan surat di dadanya.
Ya… Beda bedu….! ( GEMBIRA YANG BUKAN KEPALANG)


Harimau Betina : Surat siapa tu?  Sukanya engkau?
Kenapa?  (TERUS MERAMPAS SURAT DARI HARIMAU)
Oh! Surat cinta rupanya!  Patutlah tersengih-sengih.
Habis tu kau terima cintanya?


Harimau Jantan :  Diam.


Harimau Betina :  Kalau engkau terima dia…
cinta aku ni engkau nak campak mana?


Harimau Jantan :  Engkau jadi isteri nombor dua akulah (GELAK).


Harimau Betina :  Engkau ingat aku suka berkongsi suami? (MARAH)


Harimau Jantan :  Kalau tak suka… diam-diam ajelah!


Harimau Betina :  Mana aku boleh diam kekasih aku diambil binatang lain .
Aku akan tentang habis-habisan!


Harimau Jantan :  Hei! Sejak bila aku jadi kekasih engkau ha! Setahu aku                                                   engkau ni cuma teman biasa aje.  Jangan lekas perasanlah.(GELAK)
                                                 

Harimau  Betina:  (SAKIT HATI LALU PERGI).


BABAK KEENAM (BALAS CINTA)


Raja Harimau membalas cinta,
Gembiranya  hati  Puteri Jelita;
Siang dan malam bertemankan tinta,
Agar cinta terus bertahta.



Harimau Jantan :  (MEMBALAS SURAT KEKASIH HATI)

Buat tatapan monyet, warkahmu telah kuterima dan kuucapkan
jutaan terima kasih di atas pengakuan ikhlasmu itu.Biarlah aku
katakana di sini niatmu  untuk menjadikan aku kekasihmu…
Aku terima dengan rela hati.  Biarpun aku tahu keputusan yang
aku ambil ini akan menggemparkan seluruh binatang di darat
mahupun di laut. Aku sedar, betapa pentingnya  kedamaian.
Memang aku akui   aku bongkak, sombong  dengan kekuatan
yang aku miliki untuk  membunuh mangsa-mangsaku tapi
setelah berkenalan denganmu  tempuh hari segala
kebongkakkanku  terpadam dengan tiba-tiba.
Kehadiranmu pada hari itu telah melembutkan keganasanku.
Terima kasih monyet,  semoga kau tetap menjadi kekasihku
yang  setia.

Akhirkata sambutlah salam hormat daripadaku.

Yang Mencintaimu,

Harimau.                        


BABAK KETUJUH (POS)

Jasa si burung tidak dilupa,
Terbang tinggi bertegur sapa;
Mengalir keringat tidak mengapa,
Tanda kasih sedemikian rupa.


Burung  : Sudah siap  ke surat balasan?


Harimau : Sudah…bawa tu baik-baik ye… jangan sampai tercicir.


Burung  : Engkau tak percayakan aku ke?


Harimau : Aku cuma beri ingatan je!  Kan elok saling ingat
mengingati.


Burung  : Terima kasih atas nasihat kau tu.  Aku akan pastikan
surat ini  selamat  sampai kepada sahabatku monyet.
(MENGAMBIL SURAT)



                    *     *        *         *        *



Burung  :  (MENGAH)  Monyet… ini surat engkau bacalah cepat.


Monyet  :   Terima kasih burung.  Semoga Tuhan membalas budi baikmu,                                        (MEMBACA KEMUDIAN SENYUM PANJANG)


Burung  :   Macam mana ada tindak balas tak?


Monyet  :   Gembiranya aku! Cinta aku berbalas.


Burung  :   Tahniah monyet!  Aku doakan cinta kau tu berjaya.
Kalau  makan nasi minyak tu jangan lupa jemput aku.


Monyet  :   Takkanlah aku nak lupakan engkau burung.  Aku
akan jemput   semua binatang di darat mahupun di laut.


Burung  :   Dapat aku bayangkan betapa meriahnya perkahwinan
kau tu engkau jangan susah hati.  Urusan kad jemputan kahwin aku
yang uruskan.  Aku minta kerjasama kawan-kawanku untuk
kirimkan kad jemputan kahwin kepada semua jenis binatang
yang ada di darat mahu pun di laut.       



BABAK KELAPAN (JEMPUTAN)


Kad jemputan terus diedar,
Semua terkejut tiadalah sedar;
Ada yang memandang terus tersandar,
Asalkan pengantin cinta tak pudar.

Siput   :   Surat siapa yang kau bawa tu burung?


Burung  :   Ini bukan surat… ini kad jemputan kahwin.


Siput   :   Siapa pulak yang nak kahwin?


Burung  :   Monyet dengan Harimau.


Siput   :  (KETAWA)


Burung  :  Eh! Kenapa engkau ketawa?


Siput   :  Aku tak percaya.


Burung  :  Kalau engkau tak percaya… ha…
engkau baca kad jemputan kahwin ni!
(MENGHULURKAN KAD JEMPUTAN KAHWIN KEPADA SIPUT)


Siput   : (TERPERANJAT)  Iya betullah.  Ini satu keajaiban!


Burung  : Kalau dah jodoh tak ada siapa yang menghalangnya!
Itu namanya jodoh dah tersurat .


Siput   : Siapa-siapa lagi yang dijemput?


Burung  : Seluruh binatang di laut dan di darat.


Siput   : Hebat!


Burung  : Nanti, engkau jemputlah sanak saudara engkau datang ye.

Siput   : Sampaikan salam aku pada monyet.  Katakan aku ucapkan
tahniah dan terima kasih atas jemputannya.

Gajah   : Bila ditetapkan tarikh perkahwinan monyet dengan harimau,
tu burung?

Burung  : Satu haribulan satu tahun 2020.


Gajah   : Tepat pada masanya.  Satu tarikh yang ditunggu-tunggu oleh
semua binatang untuk meraikan satu kejayaan.


Burung  : Kejayaan apa pulak tu?

Gajah   : Iyalah dengan sahnya perkahwinan harimau dengan monyet
secara tidak langsung pasangan pengantin tersebut telah menyatupadukan
seluruh binatang.


Burung   :Sungguh bijak engkau gajah.


Gajah    : Apa engkau ingat selama ini aku bodoh ke?
Biarpun aku berbadan besar,  tenaga pun besar…otak aku pun
besar juga.

Burung  :   (GELAK)  Iyelah aku tahu engkau tu semuanya besar.


Gajah   :    Engkau jangan nak sindir aku pulak!


Burung  :   Jangan marah… aku bergurau aje.
Takkan itupun nak  ambil hati.  Maaf ye … aku pergi dulu…
jangan tak datang  bawa  saudara mara engkau ya gajah.



BABAK KESEMBILAN (GOTONG ROYONG)
Semua haiwan bergotong royong,
Sediakan pelamin pengantin tersayang;
Bergurau senda semakin matang,
Gembiranya hati semua yang datang.


Kucing  :   Macam mana  dengan kain pelamin yang aku
buat ini cantik tak?


Itik    :   Apa yang engkau buat kucing semuanya cantik.

Singa   :   Siapa yang pilih warna?


Arnab   :   Siapa lagi pengatinlah.  Katanya warna unggu adalah
lambang  kedamaian. Penyatuan rasa cinta yang sukar dimengertikan.


Ayam    :    Romantik sungguh pengantin kita tu.  Siapa pulak yang
mengantung lampu-lampu yang berwarna-warni itu? Sungguh cantik?


Kucing  :  Keluarga monyetlah.  Mereka mahir dalam panjat memanjat.


Itik    :  Kamu semua terfikir tak bagaimana muka anak pengantin
kita nanti?


Singa   :  Rupa ibu dan bapak dialah!


Kucing  :  Rupa mounyetlah.  Mau tu bapak dia dan nyet ibu dia.
(SEMUA TERGELAK BESAR)



BABAK KESEPULUH  (TETAMU DATANG)

Malam dinantikan penuh debaran,
Persandingan  Pengantin Raja Rimba yang dinantikan;
Semua gembira  menantikan  tibanya perkahwinan,
Majlis perkahwinan yang dibanggakan.

Tetamu datang  dari daratan dan lautan,
Berpakaian cantik meraikan pengantin kesayangan;
Mengucapkan tahniah penuh kesyukuran,
Kerana  pengantin idola perdamaian.

Pelbagai hadiah dibawa tetamu,
Tetamu disambut dan dijamu;
Dijamu makanan pelbagai menu,
Sambil  makan menantikan  pengantin rasa tak jemu.


Itik   :  Cantiknya pasangan pengantin bagaikan pinang
di belah dua.


Burung :  Engkau engok tu… bintang-bintang di langit
bergemerlapan dan bertaburan di sana sini seolah-olah
menyerikan lagi majlis perkahwinan ini, mari kita
tengok barang-barang hantaran  harimau kepada monyet.


Kucing :  (MEMBELEK HANTARAN)
kasut Cinderella pun ada, hai… bertuah monyet dapat
bersuamikan harimau.
                            
Itik   :  Entah-entah satu hari nanti pulak, engkau
kahwin dengan aku.


Kucing : (KETAWA) Engkau ni mengarutlah.


Itik   : (KETAWA)   Dalam dunia sekarang tiada yang pelik.


BABAK KESEBELAS  (SAMBUTAN  MAJLIS  PERKAHWINAN  DAN MASUK
TAHUN 2020)

Tepat Jam  12 Malam  semua bersorakkan,
Tahun baru 2020 diraikan seiring majlis pengantin;
Di langit rimba bunga  api berpercikkan ,
Meraikan Pengantin Raja Rimba yang budiman.


Pengantin diarak menuju pelamin,
Gajah membawa pasangan pengantin:
Paluan kompang bernyanyi-nyanyian,
Di malam itu penuh kemeriahan.


Duduk bersanding jeling menjeling,
Sambil menjeling tersenyum sayang;
Sayangnya pengantin kepada tetamu yang datang,
Dilemparkan senyuman mesra  tanda kasih sayang.

Semua kumpulan tetamu  membuat persembahan,
Dipersembahkan kepada  pengantin kesayangan;
Pengantin gembira keterharuan,
Melihat persembahan yang mengasyikkan.

Perkahwinan Pengantin Raja Rimba lambang kebanggaan.
Kebanggaan penghuni rimba dan lautan;
Pelbagai kaum dapat disatukan,
Hidup aman damai dalam perpaduan.


Kancil (Wakil Haiwan):  Terima kasih  Pengantin Raja Rimba
yang kami sayangi. Tuan  telah menyatukan penghuni
rimba yang selama ini mementingkan kaum sendiri dan
hanya mementingkan diri sendiri.  Dengan perkahwinan
ini penghuni rimba dan lautan menjalani hidup bersatupadu
tolong menolong dan aman damai selamanya. Terima kasih
Pengantin Raja Rimba.

Harimau  : (TERSENYUM  SAMBIL MEMANDANG ISTERINYA)
Ucapkan terima kasih kepada isteriku . Dialah yang telah
membuka hatiku untuk kedamaian rimba ini dan kedamaian
penghuni lautan juga.

Monyet   :  (TERSENYUM  BANGGA  SAMBIL MEMBALAS
SENYUMAN KEPADA SEMUA TETAMU  HADIR   YANG
BERSORAKKAN PENUH GEMBIRA  YANG AMAT SANGAT
DAN DI TAMATKAN DENGAN  PERCIKKAN BUNGA API)

                                                                 

                            TAMAT


Karya: Rha NS
1 Januari 1995
    

0 comments:

Post a Comment

 
;