Wednesday 1 June 2011

SYAIR ABU SUFFIAN

Tersebutlah kisah di sebuah perkampungan,
Terdapat sebuah keluarga hidup dalam kemiskinan;
Namun bahagia sekeluarga berpanjangan,
Dikurniakan anak tujuh orang yang beriman.

Ayahanda dan bonda berjiwa penyayang,
Diberikan sama rata kasih sayang;
Hari-hari dibajai kasih sayang,
Hingga ke mati kasih sayang tak hilang.

Anak sulung namanya Abu Suffian,
Abu Suffian dihantar menghafal Al-Quran;
Perit sungguh apabila berpisahan,
Berpisah dengan keluarga dia tangiskan.

Ayahanda bonda memujuk Abu Suffian,
Supaya bersabar demi menjadi hamba ilmuan;
Terhibur Abu Suffian dengar pujukan,
Disapukan air mata ayahanda ketika perpisahan.

Di pondok tahfiz Abu Suffian belajar penuh kusyuk,
Ilmu dunia akhirat semuanya masuk;
Bertambah berilmu tiada rasa riak,
Amalan bertambah semakin kusyuk.

Sahabat sekuliah semuanya sayang,
Rajin mengulang kaji pelajaran jadi cemerlang;
Budi baik sahabat takkan hilang,
Berpisah nanti budimu sentiasa dikenang.

Tamat sudah kuliah Abu Suffian,
Mendapat ijazah bidang falsafah kedoktoran;
Ayahanda dan bonda penuh kebanggaan,
Kejayaan Abu Suffian dibuat kenduri kesyukuran.

Sudah empat bulan Abu Suffian menganggur,
Duduk di rumah adik-adik diajar;
Marahkan adik apabila kurang ajar,
Nasihatkan adik adalah wajar.

Adik yang degil dipukul dengan kasih sayang,
Maka berlakulah pergaduhan kasih pun hilang;
Apabila ayahanda membela adik tersayang,
Abu Suffian dipukul ayahanda sabarnya hilang.

Kaki Abu Suffian berdarah dipukul ayahanda,
Ayahanda menangis keinsafan dirasa;
Menyapukan darah mengalir di kaki anakanda,
Dua beranak berpelukkan terseksanya dirasa.

Sudah seminggu Abu Suffian sakitnya kaki,
Risaunya ayahanda menyalahkan diri sendiri;
Pergi berubat menyembuhkan kaki,
Berkat kesungguhan ayahanda kaki sembuh kini.

Sukanya hati ayahanda Abu Suffian sembuh,
Bertambah erat ikatan kasih;
Kasih sayang mereka tidak akan runtuh,
Semakin hari semakin utuh.

Tidak berapa lama kemudian ayahanda sakit,
Abu Suffian bersama sahabat mencari ubat;
Demi ayahanda sentiasa diingat,
Sakit ayahandanya Abu Suffian pun sakit.

Demi ayahanda Abu Suffian rela berkorban,
Dermakan darah ayahanda kecintaan;
Malang sungguh nasib Abu Suffian,
Belum sempat menderma ayahanda menyahut seruan.

Sesaknya dada Abu Suffian menangis semalaman,
Jenazah ayahanda didakap dalam tangisan;
Sabarmu mengundang keredhaan,
Pemergian ayahanda duka berpanjangan.

Abu Suffian mengimamkan jenazah ayahanda,
Dengan kusyuk Abu Suffian berdoa;
Tanpa disedari mengalir air mata,
Mengenangkan ayahanda yang telah tiada.

Di makam ayahanda bertafakur Abu Suffian,
Penuh kusyuk membaca Surah Yassin;
Di doakan roh ayahanda mendapat keredhaan,
Moga manusia dan para Malaikat mengaminkan.

Sebelum meninggal ayahanda berpesan,
Pergilah anakanda tinggalkan perkampungan;
Mencari rezeki membina masa depan,
Belalah nasib keluarga yang ditinggalkan.

Abu Suffian membina hidup baru,
Memburu impian tiada rasa jemu;
Dilamar majikan bekerja penuh maju,
Bertambah maju terus maju.

Kenangan bersama Almarhum tidak dilupa,
Selepas solat doakan ayahanda;
Moga rohmu tenang di alam Sana,
Dikirimkan doa buat ayahanda.

Sekian sahaja syair Abu Suffian,
Moga terhibur segala penceritaan;
Dapat dijadikan bahan bacaan,
Disukai ramai sejak berzaman.

Karya: Rha NS
31 Mei 2011

3 comments:

Panggil Aku Romeo said...

Tlah berulang-ulang kali kubaca SYAIR ABU SUFFIAN,,. Mengharu biru teringatkan Kisahku.. Setiap kumembacanya, seketika itu pula sang bathinku berontak dan menggetarkan hati, merinding akan kedahsyatan Syair tanpa terasa berlinangkan air mata....

Masya Allah.... Walhamdulillah.... Allahu Akbar....

Sasteraku Duniaku said...

Saudara Romeo tika aku mengarang syair Abu Suffian seolah-olah rohku menyaksikan kejadian itu dengan jelas sehinggakan terheret batin qalbuku menagis dalam sendu menyaksikan kepedihan yang penuh emosi dialami oleh seluruh keluarga Abu Suffian terutama Abu Suffian tentu sekali terpukul emosinya di kala peristiwa tersebut dan di kala dia membaca karya ini. Moga Abu Suffian tetap tabah menjalani kehidupan yang seterusnya dan dilimpahi Rahmat dariNya sepanjang hayat hidup Abu Suffian.

Panggil Aku Romeo said...

Amiien Yaa Robbal 'alamiien....

Post a Comment

 
;