Thursday, 13 October 2011

SYAIR TUANKU MIZAN SENTIASA DI HATI RAKYAT MALAYSIA


SYAIR TUANKU MIZAN SENTIASA DI HATI RAKYAT MALAYSIA

Tersebutlah kisah Agong tersohor,
Tuanku Mizan yang penuh sabar;
Biarpun hidup penuh mencabar,
Agar rakyat tidak terbiar.

Permaisuri Nur Zahirah yang bijaksana,
Cantik rupawan bagai bulan purnama;
Memberi sokongan kepada baginda,
Agar rakyat terus terbela.

Bahagia hidup keluarga Diraja,
Dikurniakan puteri dan juga putera;
Dibesarkan dalam adat istana,
Ayahanda dan bonda jadi idola.

Genap 49 Tahun Tuanku Mizan diputerakan,
Disambut keputeraaan penuh kesyukuran;
Semua rakyat gembira meraikan,
Raja dan rakyat tidak dapat dipisahkan.

Terengganu negeri keputeraan baginda,
Mempunyai ilmu penuh di dada;
Anakanda kesayangan ayahanda dan bonda,
Raja dan rakyat berpisah tiada.

Berbudi bahasa berhemah tinggi,
Baginda bertitah rakyat dengari;
Semua jemputan baginda hadiri,
Asalkan rakyat rasa dihargai.

Tuanku Mizan mencemar Duli,
Menziarahi rakyat bantuan diberi;
Rakyat gembira tiada terperi,
Kebaikan baginda lekat di hati.

Sultan Mizan bertitah memuji,
Kebijaksanaan Memanda Perdana Menteri;
Memerintah negara amanlah damai,
Rakyat terbela itulah dihajati.

Raja dan rakyat berpisah tiada,
Masalah rakyat dikongsi bersama;
Rakyat mengangkat Institusi Diraja,
Raja dan rakyat rasa bahagia.

Tuanku Mizan selalu menyeru,
Inginkan rakyat bersatu padu;
Buat keputusan tidak terburu,
Asalkan rakyat terus maju.

Tuanku Mizan percaya rancangan kerajaan,
Mampu dinikmati segenap lapisan;
Rakyat bersatu dalam perpaduan,
Negara makmur dalam kemajuan.

Raja dan rakyat amat rapat,
Ke mana pergi rakyat diingat;
Perbelanjaan dibuat penuh cermat,
Tuanku datang disambut hormat.

Tuanku Mizan Agong ketiga belas,
Dengan rakyat berkasihan belas;
Tidak pernah rasa malas,
Rakyat berpadu rasa terbalas.

Istana Agong tersegam indah,
Bila bertitah penuh bermadah;
Kuasa yang tinggi tiada diendah,
Bersama rakyat tetap merendah.

Bersemayam baginda dalam istana,
Rakyat diundang pergi ke sana;
Raja kami yang bijaksana,
Ikatan raja dan rakyat terus terbina.

Masalah rakyat sama dikongsi,
Raja dan rakyat tiadalah sangsi;
Ikatan terus jadi serasi,
Tercipta nostalgia untuk generasi.

Sukacita Agong negara maju,
Pemerintahan Agong terus dipacu;
Warkah dihantar Agong dituju,
Mendoakan Agong terus di mercu.

Putera kesayangan ayahanda dan bonda,
Cemerlang negara amat sukacita;
Raja dan rakyat berpisah tiada,
Bijaksana memerintah negara tercinta.

Sejarah kesultanan patut dihayati,
Dipelajari oleh generasi terkini;
Persenoliti Raja amat dikagumi,
Ke mana pergi tetap dihormati.

Pemerintahan Agong adil saksama,
Cadangan rakyat semua diterima;
Perintahkan Memanda Perdana Menteri beri kerjasama,
Agar negara jadi ternama.

Tuanku Mizan Raja kesayangan  rakyat,
Ke mana pergi pentingkan rakyat;
Memerintah adil dan saksama demi rakyat,
Tuanku sentiasa di hati rakyat.

Tuanku Mizan Zainal Abidin Agong ternama,
Berjiwa rakyat adil dan saksama;
Pentingkan rakyat walau di mana,
Galakkan rakyat sentiasa berkerjasama.

Selamat menyambut Hari Keputeraan tuanku Mizan,
Moga Tuanku Allah redhai kami doakan;
Dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan,
Dilanjutkan usia dalam keberkatan.

Sekian sahaja syair Tuanku Mizan sentiasa di hati rakyat,
Untuk tatapan istimewa semua Raja dan rakyat;
Memerintah adil dan saksama demi rakyat,
Ampun Tuanku! Daulat Tuanku! Tuanku sentiasa di hati rakyat.

Ampun Tuanku,
Daulat Tuanku,
Sembah patik harap diampun.
Patik merafak sembah, izinkan patik mengabadikan,
‘Syair Tuanku Mizan Sentiasa Di Hati Rakyat untuk tatapan
rakyat Malaysia tercinta.

Patik percaya Syair ini dapat mencetuskan rasa cinta
yang amat mendalam kepada Institusi Di Raja dan secara
tidak langsung rakyat Malaysia akan mempertahankan
Institusi Di Raja walaupun ke titisan darah terakhir.

Ampun Tuanku.
Sembah patik harap diampun.
Akhir bicara patik doakan moga Tuanku sekeluarga
dirahmati Allah di dunia jua di akhirat.
Amin Ya Rabbal A' Lamin.


KARYA  RHA NS
4 Jun 2010

(Bersempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong XIII
Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin  Yang Ke- 49 Tahun)

0 comments:

Post a Comment

 
;