Friday, 20 May 2011

Cerpen Karyaku! Duniaku!

Aku masih ingat lagi ketika itu aku baru berusia
lapan tahun. Ketika itu aku belajar di Sekolah
Kebangsaan Telok Kemang, Port Dickson Negeri
Sembilan. Apabila cikgu tanya apakah cita-citaku,
aku katakan ingin menjadi pengarang terkenal,
semua gelakkan aku kerana aku tidak sepandai
mereka.

Aku menangis teresak-esak kerana malu ditertawakan,
cikgu Mariam memujukku dan memarahi kawan-kawan
yang mentertawakan aku.

Satu hari cikgu Mariam menyuruh ketua darjah menampal
karya cerita bergambarku di dinding bilik darjah.Cerita
bergambar itu bertajuk,‘Pak Dolah Penjual Sate’. Betapa
gembiranya aku ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu.
Aku bangga dengan diriku.

Ketika darjah lima aku suka benar membaca buku sastera
kakakku tingkatan enam. Aku minat sangat dengan bahasa-
bahasa yang digunakan pengarang, di samping kupinjam
buku cerita daripada kawan-kawan sekolahku.

Aku masih ingat lagi ketika aku di tingkatan empat aku
berjinak-jinak menulis novel pendek, selepas tulis aku
memberi kawanku membacanya.Aku bertambah taksub apabila
kawan-kawanku membaca mengalirkan air mata penuh emosi.
Hari-hari mereka menunggu kisah selanjutnya.Bertambahlah
taksub aku mengarang.

Seingat aku novel remaja yang kukarang itu tamat ceritanya
setelah hampir lima tahun. Hingga kini masih ada dalam
simpananku hampir lebih 30 tahun bertajuk,’RATINA’

Yang bertuahnya skrip novel itu telah disemak oleh guruku
pada ketika itu Anwar Ridhwan. Ketika itu aku menghadiri
kursus penulisan anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan
(PEN). Sekarang guruku telahpun menjadi Sasterawan Negara
bergelar Datuk.

Setelah menghadiri kursus penulisan aku semakin taksub
untuk menghadiri apa-apa jua kursus penulisan anjuran
mana-mana pertubuhan penulisan, kalau dikira hampir
puluhan kursus penulisan aku telah pergi menghadiri ,
ramai guru-guruku yang kini telah bergelar Sasterawan
Negara, kalungan tahniah kuucapkan biarpun agak lewat.
Terima kasih juga kepada guru-guruku yang lainnya.
Jasa kalian mengajar aku dan mencurahkan segala ilmu
penulisan yang amat kuminati sejak di bangku sekolah
lagi begitu terkesan dalam jiwaku hingga saat ini.

Kepada kawan sepenulisanku Zaharuddin sesungguhnya aku
terhutang budi kerana beria-ia sangat ingin karyaku
disiarkan di syarikat penerbitan buku. Atas usahanya
karyaku berjaya di terbitkan. Setelah lima belas tahun
berlalu karya novel kanak-kanak bertajuk.'Tangan Emas'
diulang cetak dalam versi yang baru.

Ada satu cerita lucu yang masih kuingat hingga saat
ini,apabila kawan sepenulisan aku mengatakan namaku
sebaris dengan penulis-penulis tanah air terbitan
Dewan Bahasa Dan Pustaka. Apabila dapat tahu aku
segera memcari buku tersebut dan ternyata memang
tercatat namaku. Seakan nak runtuh dunia ini,tidak
percaya betulkah aku itu? Tapi hakikatnya memang
betul.

Ada satu lagi cerita lucu yang masih kuingat, masa itu
tingkatan lima, “Rabeah ni mengarang surat ke jabatan
kerajaan macam hantar surat kepada kekasih berbunga-
bunga bahasanya,” kata cikgu Nordin ketika mengajar
mata pelajaran Bahasa Malaysia. Aku tersipu-sipu malu
dan kawan-kawan apa lagi gelak habis-habisan.

Baru aku tahu setiap kali aku menghantar surat kepada
jabatan kerajaan aku akan tersenyum sinis sendiri
mengingati kata-kata cikgu Nordin.

Ketika menyambut Hari Kemerdekaan Ke-53 aku menghantar
poskad kemerdekaan yang aku hasilkan sendiri kepada
Sultan-Sultan dan Pemimpin Kerajaan dengan ucapan
‘Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-53 Semoga
Malaysia Tercinta Terus Gemilang!
Hargai Kemerdekaan! Merdeka Selamanya!

Aku menghantar juga kad ucapan Selamat Hari Raya
Aidil Fitri dan aku karangkan serangkap pantun
yang kutujukan khas untuk sultan dan pemimpin .
Gembiranya hati tidak terkira apabila sultan dan
pemimpin membalas kad ucapanku.
Aku terharu hingga saat ini. Siapalah aku.
Aku pamerkan kad tersebut di Galeriku.

Aku masih ingat lagi di alam persekolah apabila pergi
bersama arwah ayahku ke pasaraya pasti aku akan membeli
berbatang-batang ball pen dan buku nota hingga ibu dan
ayahku menggelengkan kepala.

“Bie…baru bulan dulu dah beli…takkan dah habis
dakwat?” tegur ibuku. Aku tersengeh-sengeh
memandang ayahku. “Ala…takkan awak tak tahu
anak awak tu pengarang… ha…banyak mengarang
cepatlah habis dakwat.”Ibuku tidak terkata apa.
Ibu pun tersenyum juga akhirnya.

Kerana taksub dengan pen , beg tangan yang ingin
kubeli kupastikan ada poket di luar senang hendak
kuaturkan dengan deretan ball pen yang pelbagai
jenis dan warna. Bukan nak menayang tapi aku puas
melihat deretan pen seolah-olah rugi aku tidak
mencapainya untuk berkarya jika ilham datang.

Saat yang tidak dapat kulupakan hingga saat ini
apabila arwah ayahku menghadiahkan aku sebatang
pen berjenama ‘ Parker”. Sukanya hatiku saat itu
bukan kepalang. Kucium pipi ayah tanda terima kasih
yang tidak terhingga. Ayah memang seorang yang
penyayang dan memahami.

Ibuku pula bila nampak karyaku tersiar di dada akhbar
dialah yang menayangkan karyaku kepada semua orang
yang ditemuinya. Nak kata macam mana? Ibu peminat
nombor satu setelah ketiadaan ayahku.

Kadang-kadang aku pun tertanya-tanya pada
diriku, “Betul ke aku ini seorang pengarang?
Aku ni bukan pelajar lulusan universiti , ah!
Tak kisahlah yang penting aku minat dengan
duniaku mengarang dan terus mengarang.

Aku masih ingat lagi, ketika aku menghadiri
kursus penulisan selama tiga hari , akulah yang
sibuk-sibuk mengutip hasil karya teman-teman
sekelas untuk dijadikan buku hasil karya penulis
yang menghadiri kursus.Dan apabila jadi buku kuhantar
kepada penganjur untuk dijadikan bahan rujukan dan
koleksi.

Dalam kelas akulah peserta yang paling banyak bertanya.
Selagi tak faham aku akan tanya hinggakan perceramah
tidak kering gusi hendak menjawab. Nak pandai mesti
banyak bertanya.

Masa rehat , aku mengambil kesempatan bertanya
dengan guruku yang kini bergelar sasterawan Negara,
ketika itu aku sedang menyiapkan buku cerita kanak-
kanak bertajuk, “ Putera Duyung”, hasil tunjuk ajar
dan buah pemikirannya aku berjaya menyiapkan
buku tersebut dengan begitu baik sekali.

Aku mendapat ilham menghasilkan, ’Putera Duyung’ ketika
itu aku pergi lawatan sambil belajar di Indonesia ditaja
oleh kerajaan Negeri Sembilan. Terima kasih kerajaan
Negeri Sembilan yang ketika itu Menteri Besar Tan Sri
Isa Samad tanpa sokonganmu siapalah aku.
Benarlah kata pepatah,“Jauh Perjalanan Luas Pengetahuan”.

Cerita “Putera Duyung” bagiku amat unik dan jika dijadikan
filem animasi akan menjadi filem animasi yang hebat.
Aku pernah menjalankan kaji selidik buku Putera Duyung ,
kanak-kanak amat menggemarinya. Kerana terlalu minat
dengan cerita Putera Duyung yang merangkak membaca
terus pandai membaca. Lucu sekali. Bagaimana kepuasan
penulis menghasilkan karya, begitulah kepuasan pembaca
bila membaca karyaku.

Nak dikatakan aku ni syok sendiri tidak juga, kerana
setiap karyaku akan aku jalankan kaji selidik kepada
ribuan pembaca terdiri daripada pelbagai peringkat
umur, taraf akedemik dan kaum. Semua komen-komen
yang aku perolehi amat mengejutkan, membuatkan aku
bertambah yakin dengan karyaku jika diterbitkan akan
mendapat sambutan di luar dugaan.

Bukan nak membangga diri atau angkat bakul sendiri
tapi sekadar beri semangat kepada diri sendiri yang
dah lewat usia ni masih lagi berangan-angan nak jadi
pengarang.

Angan-anganku untuk mengadakan galeri hasil karyaku
sejak tiga puluh tahun yang lalu kini tercapai,
walaupun tidaklah se gah mana tapi aku puas dengan
galeri karyaku itu. Sijil-sijil kursus penulisan
yang pernah aku hadiri dan surat-surat sokongan
yang aku perolehi daripada jabatan kerajaan dan
swasta menghiasi keseluruhan dinding galeri karyaku.

Rak buku penuh dengan hasil karyaku yang telah
kuhasilkan sejak tiga puluh lima tahun yang lalu.
Semua hasil karya belum diterbitkan mana-mana
penerbitan. Cuma satu dua saja yang diterbitkan.
Sedar tak sedar aku sendiri yang menjadi penerbit
untuk karyaku sendiri.

Pernah aku iklankan di akhbar mencari rakan kongsi
atau pelabur untuk projek hasil karyaku tetapi hingga
kini masih gagal. Aku ingatkan nak kongsi keuntungan
bersama tapi mereka kata karyaku terlalu ringkas dan
tidak sesuai.

Walaupun mereka tidak terimaku sebagai rakan kongsi
perniagaan, ada kebaikan di sebaliknya apabila setiap
kali berjumpa dari seorang ke seorang, idea aku
bercambah. Kertas kerja dari muka surat yang sedikit
lama-lama menjadi ribuan muka surat.

Mana tidaknya segala idea dan kaji selidik pembaca ada
di kertas kerjaku, kerana terlalu tebal, cuma aku dapat
bukukan lima ratus muka surat.Kertas kerja itu (mengenai
ideaku 'Kota Buku Karyaku Duniaku' di jadikan sebagai
produk perlancongan negara) kuhantar kepada Perdana
Menteri dan Menteri-Menteri yang berkaitan dengan kerja
seniku untuk dinilai bagi pihak rakyat Malaysia yang
menyokong penuh untuk direalisasikan kerajaan Malaysia.

Namun begitu terpulanglah kepada kerajaan Malaysia,
bagiku, aku telah mejalankan tanggungjawabku kepada
rakyat Malaysia dan negara tercinta. Kalau diterima
inilah sumbanganku kepada negara tercinta.

Apapun aku yakin dengan karyaku kerana hasil daripada
kaji selidik kepada ribuan pembaca dan surat sokongan
yang aku perolehi mengatakan karyaku berkualiti dan
akan memberi impak yang besar dalam dunia perbukuan
negara di samping dapat memupuk minat membaca kepada
rakyat Malaysia sejak di bangku sekolah lagi.

Sekarang ini pemikiranku masih lagi segar membayangkan
aku telah memiliki sebuah , “Kota Buku” yang di dalamnya
ada semua hasil karyaku. Setiap tajuk buku ada produknya
tersendiri, seperti drama pentas, arca, filem animasi ,
setiap watak kartun yang ada dalam hasil karya ada
permainan kanak-kanak.Secara tidak langsung apabila mereka
membeli, seolah-olah mereka ada dalam dunia karya yang aku
hasilkan itu.

Satu tajuk buku ada lokasinya dan kalau ada lima puluh
tajuk buku seluas mana “Kota Buku” tak dapat hendak
aku bayangkan. Puaslah pecinta karyaku untuk menghayati,
‘Kota Buku” yang aku angankan itu.

Ini cuma bayangan yang ada di kotak pemikiranku .
Kalaulah benar impianku ini menjadi kenyataan pasti
tika itu, “ Karyaku! Duniaku! Dapat dikongsikan
bersama mereka yang meminati karyaku dan akulah
insan yang paling bahagia di dunia ini. Berbaloilah
segala usaha dan pengorbanan apa yang aku perjuangkan
selama puluhan tahun ini. Dan Kota Buku ini akan aku
wariskan untuk generasi dan negaraku yang tercinta!

Jika ini cuma bayangan dan tidak menjadi kenyataan
aku redha dengan ketentuanNya. Aku puas dengan
kehidupanku ini kerana aku menghabiskan usiaku
dengan,“Karyaku!Duniaku! I

Karya: Rha NS
1 Januari 2011

0 comments:

Post a Comment

 
;