Orang bijak ingat mati,
Setiap amalan fikirkan akhirat;
Keikhlasan beramal itu dihajati,
Tiada bererti melainkan saham akhirat.
Upah dari manusia untuk dunia,
Upah dari Allah untuk dunia akhirat;
Orang dunia memburu upah hingga hujung dunia,
Orang beriman memburu saham akhirat.
Hati panas semua akan menjauhimu,
Justeru sejukkan hatimu dengan wuduk;
Akan terpancar ketenangan di wajahmu,
Biasakan dirimu menjadi tawaduk.
Biar miskin harta,
Jangan miskin iman dan budi;
Miskin harta orang tak kata,
Kaya budi bawa ke mati.
Bumi musnah angkara manusia,
Kerana tidak menghargai bumi;
Apabila bumi berbicara,
Bencana datang menyembah bumi.
Hidup adalah suatu pengambaraan,
Pabila mati pengembaraan baru bermula;
Amalan diredhai menjadi bekalan,
Roh dan jasadmu tenang di alam Syurga.
Rohmu tidur lena di kuburan,
Lenamu tidur bagaikan ahli Syurga;
Permandangan Syurga dilihat penuh kesyukuran,
Berbahagialah dikau tidur dalam bauan Syurga.
Ya Tuhan kucintamu bukan kerana SyurgaMu,
Tapi ingin mendapat keredhaanMu;
Tabahkan hatiku tidaklah jemu,
MencintaiMu tika hidup hingga matiku.
Jantung berdegup seratus ribu kali sehari,
Kutangisi apabila tidak mengingatiMu;
Ya Allah sinarkan hidayahmu kepada kami,
Berzikir dalam senyap itu yang dimahu.
Berzikir dalam senyap itu mahuku,
Agar jantung berdegup seiring roh memujiMU;
HambaMu yang hina ini merayu padaMu,
Di akhirat nanti terimalah rayuanku.
Ya Allah berilah aku peluang dan ruang,
Untuk melakukan kebaikan yang Kau redhai;
Jangan biarkan syaitan mengambil peluang,
Mempengaruhi aku hingga ke mati.
Aku cemburu orang mengingati Allah,
Kenapa aku tidak begitu;
Hati tenang mengingati Allah,
Justeru aku mahukan begitu.
Hidup memang menyilaukan,
Kerana kita memerlukan kilauan iman;
Balasan Syurga atas kesabaran,
Itulah yang diharapkan orang beriman.
Duhai kekasih Allah di cintai,
Balaslah cinta kami ini;
Pilihlah kami mendapat Syafaatmu nanti,
Perjuanganmu sentiasa kami ingati.
Betapa tulus cintamu kepada kami,
Seharusnya kami balasi;
Perjuanganmu kami tangisi,
Shafaatmu di Mahsyar perkenankan nanti.
Aku terpegun alam ciptaanMu,
Kesyahduan pemandanganNya hatiku sayu;
Subhanallah Maha KebesaranMu,
Kekuasaan!Kebanggaan! Hanya milikMu.
Allah Maha indah seindah 99 namaNya,
Seindah dan semerdu KalamNya;
Apabila menyebut namaNya bergetar jiwa,
Pabila lupakanNya roh merintah jasad merana.
Jiwaku meruntun membaca KalamNya,
Wangian cintaNya meresap dalam roh dan jasadku;
Terus menangis kerinduan padaNya,
Balasan cintaNya amat kutunggu.
Pandanglah aku di dunia ini itu mahuku,
Wahai Tuhan Semesta Alam;
Kutakut di akhirat Kau tidak memandangku,
Tiada berguna tangisan seisi alam.
Ya Allah berkatilah hidup kami,
Berilah peluang dan ruang beramal keranaMu;
Kami mahu bertemu denganMu dalam Kau redhai,
Moga di akhirat nanti mendapat ihsanMu.
Karya: Rha NS
1 Mei 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment