Tersebutlah kisah keluargaku tersayang,
Tinggal di Kampung Teluk Kemang;
Aman sentosa bersenang-lenang,
Hidup bahagia terkenang-kenang.
Mohd Ali ketua keluarga,
Anak isteri terurus terjaga;
Seorang bapa yang bijaksana,
Satu keluarga hidup bahagia.
Pagi-pagi pergi ke laut,
Ombak membadai tak pernah takut;
Berusaha bapa selagi larat,
Buat hatiku rasa tersayat.
Fatimah isteri yang baik budi,
Cantik rupa cantiklah hati;
Suami disayangi juga dihormati,
Cintakan suami hingga ke mati.
Anak-anak hidup bahagia,
Mendapat perhatian ibu dan bapa;
Ada masalah dikongsi bersama,
Pengorbanan ibu bapa tidak dilupa.
Dikurniakan Tuhan anak sepuluh,
Dijaga dididik tak pernah mengeluh;
Sanggup berhujan sanggup berpeluh,
Demi kerana anak sepuluh.
Halimahtun Sa’adiah anak pertama,
Cantik rupawan berbudi bahasa;
Kerenah adik-adik semua diterima,
Semua adik-adik sayang padanya.
Anak kedua namanya Ramli,
Anak kesayangan Mohd Ali;
Tamat belajar mengajian tinggi,
Agar Ramli hidup dihargai.
Anak ketiga namanya Salmah,
Orangnya ramah dan tamah,
Asyik ketawa tak pernah marah,
Qada dan Qadar dia berserah.
Anak keempat Abdul Ghaffar,
Seorang pendiam kuat bersabar;
Kuat berusaha banyak ikhtiar,
Agar keluarga tidak terbiar.
Noraini pula anak kelima,
Rajin memasak untuk keluarga;
Orangnya pendiam berbudi bahasa,
Banyak berbudi banyak berjasa.
Hasnah anak keenam paling pandai,
Kepandaiannya tiada ditandingi;
Jasa ibu dan bapa amat dihargai,
Wajah bapa masih dibayangi.
Anak ketujuh namanya Khairiah,
Masa kelahiran disambut meriah;
Cepat merajuk bila dimarah,
Mohon maaf bila tersalah.
Saridah anak yang kelapan,
Bertanggungjawab beradap sopan;
Kuat bekerja hingga tak sarapan,
Ekonomi keluarga terus mampan.
Rabeah anak yang kesembilan,
Suka tersenyum suka berjalan;
Minat menulis jadi amalan,
Cita-cita ingin menggapai bulan.
Radziah anak yang bongsu,
Masa kecil suka menyusu;
Disayangi olah ayah dan ibu,
Kini digelar puteri bongsu.
Anak-anak semuanya sayang,
Kasih sayang takkan hilang;
Hidup bahagia sayang menyayang,
Jasa ibu dan bapa tak akan hilang.
Ibu gembira anak bahagia,
Jangan putus ikatan keluarga;
Saling berhubung jalinan mesra,
Agar ikatan terus terbina.
Masa berlalu begitu pantas,
Ingin bahagia tiada jalan pintas;
Segala cabaran terus direntas,
Kasihkan keluarga tempat teratas.
Sekian sahaja syair keluargaku sayang,
Moga kasih takkan hilang;
Indah hidup berkasih sayang,
Bahagia keluargaku terus terbayang.
Karya : Ummu Sal
5 Jun 2010
Puisi Keluargaku Sayang
Duhai bapa…
Kusayangmu hingga ke hujung nyawa.
Duhai ibu…
Kukasihmu tiada hadnya.
Duhai kakak…Duhai abang…Duhai adik…
Kusayang kalian tiada batasan…
Kita dikandungkan dalam perut yang sama…
Kita dibesarkan dalam satu bumbung,
Mana mungkin kita terputus kasih sayang!
Bersyukurlah kita ditakdirkan mempunyai
ibubapa yang baik hati dan penyayang.
Kita hidupkan kasih sayang ini
selagi hayat di kandung badan…
Moga kebahagiaan keluarga kita
terus berkekalan hingga ke Syurga
nanti, Amin Ya Rabbal A’Lamin.
Karya : Rha Ns
5 Jun 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment