Tuesday, 27 September 2011

KAMI DISAYANGI SEMUANYA SAMA

Nama ibuku Hajah Fatimah,
Baik hatinya bukan kepalang;
Orangnya ramah dan tamah,
Ke mana pergi tetap disayang.

Ibu Fatimah wanita rupawan,
Cantik rupa cantik bahasa;
Kerana itu Mohd Ali tertawan,
Diterima pinangan kerana gagah perkasa.

Dilayan suami bagaikan permaisuri,
Hidup berkeluarga bagaikan di Syurga;
Wajah isteri bagaikan bidadari,
Menyayangi suami makan minum dijaga.

Bapa ke laut ibu di rumah,
Menjaga anak-anak penuh kasih sayang;
Tetamu datang dilayan hormat,
Ke mana pergi semuanya sayang.

Ibu Fatimah berkorban apa saja,
Demi kepentingan anak-anak tercinta;
Pelajaran diutamakan buat  kuteruja,
Sedari kecil kutanam cita-cita.

Kasih ibu sama rata,
Anaknya sepuluh semuanya disayangi;
Ibu mengasuh dengan kasih dan cinta,
Cinta dicurah terus mewangi.

Ibu dan bapa pasangan bahagia,
Ke mana pergi selalu bersama;
Semua anak-anak terasa bahagia,
Kami disayangi semuanya sama.

Ibu dan bapa pergi ke laut,
Pergi ke laut mengambil bunga karang;
Cinta ibu tak pernah surut,
Dari dulu hingga sekarang.

Kata ibu datukku seorang pahlawan,
Menyandang jawatan hulubalang  Raja Bugis;
Kepahlawanan datuk buatku teruja,
Gugurnya datuk buatku menangis.

Ibu dan bapa berpakat bersama-sama,
Besarkan anak-anak tanpa balasan;
Budi baik anak-anak semua diterima,
Sebagai balasan yang tak pernah bosan.

Ibuku sedih aku pun sedih,
Pemergian bapa masih terkesan;
Hati ibu memanglah pedih,
Sayangilah anak-anak bapa berpesan.

Hampir berbulan ibu termenung,
Pergi ke pusara melepas rindu;
Kasih sayang suami terkenang-kenang,
Rindukan suami dalam tangis dan sendu.

Mujurlah ada anak-anak ramai,
Senyum dan tawa pengubat rindu,
Hati ibu terasa damai,
Kasih sayang anak-anak tetap berpadu.

Ibu besarkan anak-anak tanpa bapa,
Cekalnya ibu pergi berniaga;
Segala cabaran dihadapi pelbagai rupa,
Demi kesejahteraan kami sekeluarga.

Ibuku wanita pandai berniaga,
Dicongak dihitung dengan bijaksana;
Pelanggan dilayan seperti keluarga,
Keberkatan berniaga keuntungan diterima.

Ibuku kini sudah bersara,
Perniagaan diwarisi oleh kakakku;
Rehat ibuku ibu disara,
Pengorbanan ibu tetap di hatiku.

Pengorbanan ibu dihargai anak,
Dirikan banglo  untuk ibu tersayang;
Kini anak beranak pinak,
Hidup bercucu cicit sayang menyayang.

Di pagi Syawal bahagianya kami,
Anak cucu cicit berkumpul bersama;
Begambar sekeluarga untuk dikenangi,
Ibu gembira hadiah diterima.

Bahagia ibu dikelilingi anak cucu,
Ibuku panyayang jadi nenek penyayang;
Ke mana pergi disayangi anak cucu,
Anak dikasihi cucu disayang.

Kasih ibu bawa ke Syurga,
Kasihkan isteri hingga ke mati;
Bahagia hidup kita sekeluarga,
Sayang menyayangi  lekat di hati.

Indahnya hidup bersama ibu,
Hidup penuh kasih dan sayang;
Ibuku satu dalam beribu,
Kasih sayang ibu terbayang-bayang.


Karya:  Rh ns
           8 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment

 
;