Saturday, 20 August 2011

YA ALLAH KURNIAKAN SYURGA UNTUK BAPAKU

YA ALLAH KURNIAKAN SYURGA UNTUK BAPAKU

Setiap Ramadhan aku pasti teringatkan bapaku
Seorang bapa penyayang dan memahami kesemua anaknya

Bapaku mencintai ibuku Hajah Fatimah sepenuh jiwa raganya
Itulah cinta pertamanya ...itulah cinta terakhirnya

Ibuku dilayan seperti permaisuri
Tak pernah dibiarkan hidup dalam kesusahan

Biar bapa yang susah
Jangan isteri dan anak-anak yang susah

Bapa sanggup berhenti kerja di perkapalan
Kerana tak mahu berjauhan dengan isteri dan anak-anak
Lantas bapa kerja sendiri dengan menangkap ikan di laut
Itulah hasil untuk menafkan isteri dan anak-anak

Sememangnya bapaku seorang penyayang
Biarpun pendapatan tidaklah seberapa
tapi bapaku mampu membeli sebuah kereta
untuk kegunaan kami keluarga

Bertambah manjalah ibuku Hajah Fatimah
Makan angin bersama bapa
Ke mana pergi ibuku pasti menemaninya
Seperti sepasang kekasih mereka berdua
Kadang kala aku pergi menemani ibu dan bapa
Bersiar di pantai

Bapa dan ibu berbual-bual mesra duduk sebatang tunggul
sambil bergelak ketawa memerhatikan
aku bermain pasir dan ombak di tepian pantai

Ah! Bahagia aku di kala itu melihat
Bapa berpimpinan tangan dengan ibu
Menghampiriku dan kami bergurau senda bersama
Bermain ombak di tepian pantai
Sambil bergelak ketawa
Aduhai ..manisnya kenangan itu
Mahu di putarkan masa
Kenangan yang amat membahagiakan!

Bapaku memang seorang yang penyayang
Ketika itu usia tujuh tahun
Setiap kali kuku kedua belah tangan dan kakiku panjang
Bapalah yang memotongnya
Aku akan duduk di pangkuan bapa
Bapa mengerat kuku tangan dan kakiku
Dengan penuh hati-hati
Dengan penuh kasih sayang

Sesudah itu aku duduk di pangkuan ibuku Hajah Fatimah
Rambutku yang panjang disikat rapi
Lalu disanggul nampak kemas
Bapa tidak membenarkan rambutku dipotong pendek
Dia suka aku berambut panjang
Tapi kakakku berambut pendek bapa tak kisah
Aku tak tahu kenapa bapa terlalu mengambil berat tentangku

Aku masih ingat lagi
Bapa membawa kami lima beradik untuk menonton wayang
Di panggung wayang di pekan Port Dickson
Bapa tunggu kami di luar panggung wayang
Cerita yang kami tonton , "King Kong"

Habis menonton dalam kereta kami ceritakan pada bapa
Bapa senyum saja melihat telatah kami adik beradik
menceritakan kisah filem ,"King Kong" yang ditonton.

Kalau setiap pagi bapalah paling sibuk membantu
ibuku menyiapkan sarapan anak-anak ke sekolah
Bapa cukup risau jika anak-anak tak bersarapan
ke sekolah...katanya macam mana nak belajar kalau
perut kosong...begitu prihatin bapaku

Setiap malam Jumaat bapaku akan menadah air hujan
dan air tadahan itu diberikan kepada anak-anaknya minum
katanya air penerang hati berkat malam Jumaat

Yang paling tak dapat kulupakan hingga kini bila
tiba saatnya bulan Ramadhan...bapalah yang menyiapkan
untuk makan sahur

Dia bangun seawal pagi memasak dan setelah terhidang makanan
di meja barulah dia kejutkan isteri dan anak-anaknya

Ibu dilayan seperti permaisuri
Anak-anak dimanjai
Menatang seperti minyak yang penuh

Kalau anak-anak tak mahu bangun bapa akan mengangkat
letak di kerusi... begitu sekali kami dilayan oleh bapaku
Kalau boleh nasipun nak disuapkan ke mulut anak isteri

Bapa...bapa... kaulah bapa yang penyayang di dunia ini
Kasih sayangmu kuingat hingga sekarang
Takkan kulupa hingga akhir hayatku

Beruntunglah ibuku Hajah Fatimah
Hingga akhir hayat dia sayangkan ibuku
Cintanya pada ibu hingga ke nafas terakhir
Kasih dan sayangnya pada anak-anak
Hingga kini anak-anak tak lupa
Dunia akhirat ku sayang bapa

"Ya Allah di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini...
Yang Pintu-Pintu SyurgaMu dibuka Seluasnya
Kau balaslah Semua kebaikan bapaku ...
Ampunilah segala dosa bapaku
Masukkan rohn bapaku ke dalam roh-roh hambaMu yang beriman
Kurniakan Syurga untuk bapaku Ya Allah.
Amin Ya Rabbal A'Lamin

Karya: Rha NS
18 Ramadhan 1432H
18 Ogos 2011
Thursday at 2:19am

0 comments:

Post a Comment

 
;